Tak sama situasi Pas-Amanah dengan Umno-Bersatu, kata pemimpin Pas

Tak sama situasi Pas-Amanah dengan Umno-Bersatu, kata pemimpin Pas

PAS tidak melihat sebarang percanggahan antara hubungannya dengan Bersatu dan pendiriannya menolak Amanah.

Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad berkata pihaknya tidak bermasalah sekiranya Amanah mahu menyertai Perikatan Nasional untuk menyumbang kepada penyatuan ummah.

“Saya menyambut saranan Presiden PAS bahawa PN satu platform untuk menyatukan semua. Jadi sekiranya Amanah ingin untuk bersama maka ianya boleh dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi PN,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas persoalan oleh segelintir pihak mengenai kesediaan PAS bekerjasama dengan Amanah sepertimana PAS mahukan Umno bekerjasama dengan Bersatu.

Kamaruzaman akur, sehingga kini asas fahaman pejuangan PAS dan Amanah berbeza menyebabkan dua parti itu sukar bekerjasama.

Justeru, kata beliau, kedudukan PAS-Amanah yang duduk dalam dua gabungan berasingan tidak seperti Umno dan Bersatu yang bersama dalam kerajaan PN.

Beliau berkata PAS hanya menjalin kerjasama dengan Bersatu setelah parti itu keluar daripada Pakatan Harapan, sesuatu yang belum dilakukan oleh Amanah.

“Sekarang, mereka (Amanah) bersama dengan DAP, bersama PKR (dalam PH), yang kita tolak. Ini maknanya dua situasi berbeza, Bersatu dulu bersama PH dan telah keluar sebab itu kita membuat kerjasama ini (dalam kerajaan PN).

“Sekarang, Amanah masih bersama dengan DAP jadi ia dua situasi jauh berbeza. Tidak boleh nak samakan antara situasi Amanah dengan Bersatu buat masa ini,” katanya.

Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dipetik laporan media sebagai berkata, sekiranya PAS mahu mempertikaikan hubungan keruh antara Umno dan Bersatu, maka PAS perlu membayangkan dirinya berada dalam situasi sama dengan parti Amanah.

Selain membangkitkan bagaimana Bersatu merupakan parti serpihan yang membawa ‘lari’ 15 kerusi dimenangi Umno pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad berkata Bersatu juga mencuri ahli Umno di peringkat akar umbi.

“Kalau PAS kata, apa benda ni (bergaduh)? Saya nak bagi tahu kepada PAS, wahai PAS yang ada 18 kerusi, bayangkan kalau daripada 18 kerusi itu, katalah 15 kerusi melompat kepada Amanah.

“Lepas itu kita nak paksa PAS yang tinggal beberapa kerusi itu baik dengan Amanah. Boleh ke?” soal Ahmad.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/19/situasi-pas-amanah-tak-sama-dengan-umno-bersatu-kata-kamaruzaman/