Tak perlu pengeluaran khas KWSP, bantuan penting khusus untuk B40 akan diumumkan. Kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara penting dalam masa terdekat
Termasuk peluang menjana pendapatan tambahan buat golongan B40 sebagai alternatif tidak perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan juga mula melihat dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ini kerana kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua hingga lima tahun akan datang bagi memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran, dan semua perkara ini berbentuk jangka sederhana dan panjang.”
Beliau berkata demikian selepas “Sesi Kick-Off Dialog Strategik Menteri Ekonomi: Permerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat”.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat mempunyai sedikit simpanan pada hari tua, di mana tumpuan akan diberikan dari segi bantuan serta dasar melibatkan kos sara hidup dan pendapatan.
“Kita perlu berhati-hati dengan pengeluaran KWSP, walaupun saya faham ia dapat membantu sesetengah keluarga buat sekarang, tetapi kos yang terpaksa dibayar mereka kemudian hari adalah tinggi.”
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sedang mencari penyelesaian bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi masalah kewangan tanpa perlu mengeluarkan simpanan KWSP.
Sementara itu, Rafizi berkata, kesan kenaikan kos sara hidup dapat ditangani lebih baik oleh isi rumah sekiranya program subsidi bersasar berjaya diberikan kepada kumpulan benar-benar memerlukannya.
“Proses membuat keputusan untuk penentuan kelayakan secara menyeluruh sedang berjalan dan ini keputusan paling besar dalam ekonomi negara…kita mesti berkeupayaan menentukan pendapatan isi rumah dan bilangan isi rumah.”
Katanya, platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan ditambah baik dengan harapan menjadikan Malaysia destinasi dan pasaran mesra perniagaan lebih berdaya saing.
“Platform itu akan dipengerusikan saya dan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali,” katanya.
BACA:
Ahli Parlimen PN dedah kisah payudara dalam sidang parlimen, rupanya ini ceritanya