Tak boleh kena claim dah, nasi lemak, roti canai dan teh tarik diiktiraf Unesco

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Budaya Sarapan di Malaysia telah tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengumuman ini dibuat semasa sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya

Tidak Ketara (IGCICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay, dari 2 hingga 7 Disember.

Badan Penilai memutuskan bahawa Budaya Sarapan di Malaysia memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 UNESCO.

Tak boleh kena claim dah, nasi lemak, roti canai dan teh tarik diiktiraf Unesco

“Budaya Sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, penglibatan, dan penerimaan masyarakat berbilang etnik di negara ini, serta merupakan elemen warisan budaya tidak ketara.

Kepelbagaian ini selari dengan kriteria UNESCO dan memberi impak positif dalam hubungan sosial masyarakat, sekali gus mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum,” ujar seorang penilai melalui klip video yang tular di X.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pengiktirafan tersebut dan berkata, Badan Penilai telah memutuskan bahawa Budaya Sarapan di Malaysia memenuhi semua syarat yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 UNESCO.

“Kejayaan ini akan menggalakkan usaha lebih banyak untuk melindungi warisan tidak ketara dengan sinergi antara kerajaan, persatuan, komuniti tempatan, serta membuka peluang jaringan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang,” kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengemukakan dokumen pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia kepada pihak sekretariat UNESCO pada 30 Mac 2023. Ini adalah pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan dan gastronomi Malaysia.

Pengiktirafan ini juga menegaskan komitmen MOTAC dalam melindungi warisan budaya tidak ketara, selaras dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara yang memberi fokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

BACA: ‘Adik bongsu aku buas walaupun dah umur 11 tahun, mak marah bila aku suruh bawa jumpa pakar, katanya aku menghina adik’