Tajuddin tetap kekal sokong Muhyiddin

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin di sebalik kontroversi pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tajuddin berkata, semua pihak tidak harus bingkas menuduh kerajaan dan Perdana Menteri derhaka kepada Istana berhubung isu itu.

Katanya, apa yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada sidang khas Dewan Rakyat Isnin lalu hanya merujuk kepada perkara diputuskan oleh pihak kerajaan.

Tajuddin

“Pembubaran (ordinan) darurat itu…mesti mendapat perkenan Agong dahulu sebelum ia diberitahu kepada orang ramai.

“Kita menerima hakikat itu. Tetapi Menteri Undang-undang (hanya) menyebut di dalam Parlimen, (Ordinan Darurat) telah dibatalkan oleh Kabinet. Dia tak sebut pun lagi yang pembatalan itu belum lagi selesai sehingga mendapat perkenan Agong.

“Dia dijadualkan untuk menjelaskan (perkara berkenaan) Isnin ini. Tetapi sudah jadi macam ini tak tahulah jadi macam mana,” katanya kepada FMT, tanpa mengulas lanjut.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata, 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, mengadakan mesyuarat semalam dan menyatakan sokongan berterusan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Mereka mengambil pendirian demikian meskipun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendesak Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Kenyataan Ismail itu dibuat menerusi surat menggunakan logo dan alamat BN. Bagaimanapun ibu pejabat BN menegaskan kenyataan itu tidak dikeluarkan menerusi saluran rasmi parti.

“Sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan melalui pengerusi (Ahmad Zahid Hamidi) atau Setiausaha Agung parti (Zambry Abdul Kadir) dan hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi komunikasi parti,” kata Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/30/di-sebalik-kontroversi-derhaka-tajuddin-tetap-sokong-muhyiddin/

BACA JUGA : Tak wajar Jemaah Menteri anggap Agong hanya sekadar ‘rubber stamp’