Syed Saddiq tak sabar ke Parlimen, banyak isu mahu dibawa

Syed Saddiq tak sabar ke Parlimen, banyak isu mahu dibawa

Syed Saddiq tak sabar ke Parlimen, banyak isu mahu dibawa. Cara biasa berpolitik dengan sistem sedia ada perlu diubah untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan wakil rakyat, sekali gus mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kepemimpinan negara.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat, perlu ada pembaharuan dalam cara berpolitik di Malaysia yang mengimbangkan antara tugas membuat dasar dan tanggungjawab memastikan kelancaran pelaksanaannya di kawasan masing-masing.

“Kita perlu disrupt politik di Malaysia, tidak boleh lagi ada cara kerja biasa atau business-as-usual. Maka sebab itu saya rasa penting untuk kita gabungkan politik dasar dengan politik khidmat untuk menjadi Ahli Parlimen yang efektif.

“Politik dasar itu adalah tanggungjawab hakiki kita di Parlimen, tetapi sambil kita melaksanakan dasar tersebut, penting untuk kita dekat dengan rakyat supaya kita boleh lihat pelaksanaan dasar,” jelasnya.

Oleh sebab itu, katanya beliau tidak sabar untuk kembali ke Parlimen.

Ia bukan untuk berbalah dan merebut kerusi menjadi kerajaan, tetapi untuk membangkitkan isu-isu penting yang perlu diperdebatkan dalam membina dasar baharu yang lebih baik untuk negara.

Antaranya termasuk isu yuran pelajar universiti yang masih dikenakan pada jumlah sama atau lebih banyak tatkala hari ini semua menjalani kelas secara maya, polisi berkaitan dana politik dan akta anti lompat parti yang dilihat mengacau-bilau kestabilan pentadbiran negara.

Pada masa sama, katanya, tidak dilupakan tugas untuk turun ke kawasan masing-masing bagi melihat sejauh mana rakyat menikmati manfaat atau terkesan daripada dasar-dasar yang dibentuk di Parlimen itu.

“Hari ini kita telah melihat rakyat bangkit untuk menekan kerajaan supaya bertindak lebih cekap tatkala situasi dan cabaran hidup di waktu pandemik ini telah menghimpit mereka yang berharap kepada sistem pentadbiran untuk membawa mereka keluar daripada kesempitan,” kata Syed Saddiq.

Beliau mahu peranan itu terus dimainkan rakyat supaya tidak ada ahli politik terus selesa dan leka di kerusi empuk mereka.

“Ini menunjukkan bahawa zaman di mana ahli politik boleh bermaharajalela telah pun tamat.

“Tekanan rakyat itu akan menyebabkan berlakunya fastabiqul khairat, iaitu kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan,” ujarnya.

Ahli politik hari ini, katanya perlu sentiasa bergerak mencari jalan baharu melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin, biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk tidak mendapat peruntukan yang cukup.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, tambah beliau, sepertimana dirinya yang melaksanakan pelbagai inisiatif mengumpul dana untuk disalurkan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk diperlukan.

“Apabila peruntukan untuk pembangkang ditarik, saya tidak menyerah kalah, duduk rumah dan tutup pejabat. Saya tekad cari jalan lain.

“Saya botakkan kepala, buat tuisyen atas talian di mana lebih 1,000 orang hadir dan setiap seorang bayar RM200, dan banyak lagi. Cari jalan lain yang unik, sedikit luar daripada kotak.”
Berbalik kepada pembentukan dasar, kata Syed Saddiq, ia mesti berlandaskan data dan sains, bukannya sentimen.

Apabila data dan sains yang menjadi teras panduan dalam perangkaan polisi negara, maka kerajaan dan pembangkang akan dapat duduk bersama berbincang dan menentukan langkah terbaik untuk rakyat dan negara.

“Contohnya, saya nak laksanakan saringan besar-besaran di Muar menggunakan peruntukan sendiri tetapi tak boleh, siap dapat surat penolakan, malah doktor yang nak buat juga dapat tentangan dan dikatakan mungkin lesen mereka akan ditarik.

“Saya faham ada beberapa keputusan yang tidak popular tetapi wajar dilakukan. Di sinilah di mana bipartisanship, yakni keputusan bersama, dapat memberikan impak yang terbaik supaya semua parti dapat persetujuan bersama,” jelasnya.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/cara-biasa-berpolitik-sudah-tak-boleh-pakai-syed-saddiq-307466

kalau Anda terlepas: Panas !!! Najib tanya ahli parlimen BN mana sokong Muhyiddin?