Suka duka perjuangan Mat Sabu dari kacamata rakan baik..

Oleh MHDAILY

‪Teringat aku kisah perjuangan bersama Mat Sabu dahulu.‬

‪Hubungan aku dengan Mohamad Sabu (lebih dikenali sebagai Mat Sabu) bermula sejak kami menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam.‬

‪Aku dan Mat Sabu bersahabat karib sejak dari kampus ITM pada 1970an.‬

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

‪Aku masuk ITM pada Julai 1973 dari STAR, Ipoh ketika aku masih penuntut tingkatan enam rendah. Mat Sabu senior enam bulan dari aku di ITM. Aku mengambil kursus ACA di School of Accountancy, manakala Mat Sabu mengikuti Diploma in Food Technology di School of Science.‬

‪Kami sama-sama aktif dalam pergerakan pelajar sewaktu di ITM. Kami aktif dalam sudut-sudut pidato. ‬

‪Aku dan Mat Sabu tak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kepimpinan Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM).‬

‪Sewaktu menjadi pelajar ITM, kami terlibat dalam berbagai demonstrasi, antaranya demo menuntut ITM dinaikkan ke taraf universiti pada 22 April 1974 dan demo memperjuangkan kemiskinan penduduk Baling pada 3 Disember 1974.‬

‪Pada ketika universiti-universiti tempatan dikenakan cengkaman Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selepas demo 3 Disember 1974, ITM sebagai bukan universiti pada waktu itu terkecuali daripada AUKU.‬

May be an image of 2 people and people smiling

‪Namun, pada 1976 Kerajaan menggubalkan Akta ITM yang seumpama AUKU untuk mencengkam pergerakan pelajar. Lalu kami membantahnya dan menganjurkan demonstrasi dalam kampus sehingga Menteri Pelajaran ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengarahkan ITM ditutup.‬

‪Aku dan Mat Sabu bersama lebih 120 pelajar dipecat dari ITM pada 1976 kerana terlibat dalam demonstrasi membantah Akta ITM.‬

‪Berikutan demonstrasi itu, enam aktivis pelajar ditahan di lokap polis termasuk aku dan Mat Sabu selama dua minggu. ‬

‪Kemudiannya kami didakwa di mahkamah majistret Klang atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan haram. Namun, majistret memutuskan kami dilepaskan dari tuduhan.‬

‪Selanjutnya bersama kami menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pimpinan Anwar Ibrahim. Mat Sabu dilantik menjadi Setiausaha ABIM Daerah Shah Alam, sementara aku menjadi pegawai Ibupejabat ABIM Pusat.‬

‪Kemudian Anwar menyertai UMNO, tetapi aku dan Mat Sabu memilih untuk menyertai PAS. Mat Sabu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, dan aku dilantik sebagai Ketua Sekretariat Dewan Pemuda PAS Pusat. ‬

‪Kami menduduki Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat seangkatan dengan Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan Mahfuz Omar.‬

‪Bersama rakan-rakan Jawatankuasa Kerja, kami gerakkan sayap Pemuda PAS ketika PAS diganyang teruk oleh Kerajaan BN pimpinan PM Dr Mahathir Mohamad. Tidak cukup dengan menggunakan Akta Polis, Mahathir menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menindas pembangkang, termasuk PAS.‬

‪Berbagai insiden dan isu dalam perjuangan telah kami lalui bersama sewaktu dalam Pemuda PAS, antaranya Peristiwa Memali 19 November 1985 yang mengorbankan sahabat kami Ustaz Ibrahim Libya dan 13 ahli PAS yang lain serta 4 orang anggota polis.‬

‪Aku masih ingat lagi, aku hadir bersama Mat Sabu yang berceramah di Madrasah Islahiyyah Diniyyah, Kampung Memali dianjurkan oleh Ustaz Ibrahim Libya dalam bulan-bulan terakhir sebelum Peristiwa Memali.‬

May be an image of 2 people and people standing

‪Semasa Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, Mat Sabu ditahan di bawah ISA bersama 119 orang tokoh politik pelbagai parti dan aktivis masyarakat. Exco Pemuda PAS Pusat yang turut ditahan ketika itu ialah Khalid Samad dan Mahfuz Omar.‬

‪Sewaktu Operasi Lalang mengganas, aku mendapatkan perlindungan politik di Teheran, Iran.‬

‪Penahanan Mat Sabu semasa Operasi Lalang 1987 merupakan kali yang kedua beliau ditahan ISA. ‬

‪Kali pertamanya pada 10 Julai 1984. Aku amat sedih pada waktu aku mengetahui Mat Sabu ditahan ISA pada 1984 dan aku menitiskan air mata apabila mengetahuinya. Aku jarang menangis, tapi begitulah keadaannya apabila sahabat karib menjadi mangsa penindasan dan kezaliman. ‬

‪Semasa Mat Sabu dalam tahanan ISA 1984, aku menunaikan haji. Sebenarnya, kami telah merancang untuk menunaikan haji bersama beberapa orang lagi rakan seperjuangan. Segala persiapan telah diatur, namun tak kesampaian apabila Mat Sabu ditahan ISA. Tiket penerbangan haji yang aku sediakan untuk Mat Sabu, aku tukarkan penama kepada ibu Mat Sabu, Halijah Mat bagi membolehkannya menunaikan haji bersama rombongan aku. ‬

‪Aku menunaikan haji tanpa Mat Sabu, tapi digantikan oleh ibunya.‬

May be an image of 5 people and people smiling

‪Semasa menunaikan fardhu haji itu, Mat Sabu dibebaskan dengan bersyarat dan telah dikenakan Perintah Kediaman Terhad (buang daerah) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.‬

‪Sekembalinya dari haji, aku terus melawat Mat Sabu di Kuala Pilah. Sebagai sahabat, aku sentiasa datang menziarahinya setiap minggu.‬

‪Ketika itu [seperti dalam gambar] aku berusia 28 tahun dan Mohamad Sabu 30 tahun. ‬

‪Aku keluar dari PAS pada 23 April 1995 ketika aku menjadi calon dalam pilihanraya umum bagi kawasan parlimen Bandar Tun Razak. Aku telah cuba memaklumkan kepada Mat Sabu pendirian aku itu pada malam terakhir sebelum keluar parti. Namun aku tak berjaya menghubunginya. Kemudian hari, aku diberitahu bahawa Mat Sabu ketika itu sedang berkempen pilihanraya di Gua Musang. Marah sungguh Mat Sabu kerana aku keluar PAS.‬

‪Dua puluh tahun kemudian, Mat Sabu pula keluar PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara.‬

‪Mat Sabu kini ialah Presiden Parti Amanah Negara, aku ialah Setiausaha Parlimen kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat.‬

‪Aku dan Mat Sabu berkawan kembali.‬ Aku kini berusia 65 tahun, Mat Sabu 67 tahun.

‪Meskipun berlainan wadah, kami tetap mendukung nilai dan falsafah perjuangan yang sama, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.‬

Sumber: