Sudah masuk pusingan ketiga, laman web vaksin tetap bermasalah

Lebih 300,000 permohonan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua direkodkan dalam tempoh kurang 45 minit selepas sistem itu dibuka pada 12.15 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi catatan di Twitter memaklumkan, masih ramai yang gagal mendapatkan janji temu itu.

“Kami maklum masih ada yang tidak boleh berbuat demikian. Sila cuba lagi sebentar nanti,” katanya.

Terdahulu, sistem tempahan vaksin itu lewat 15 minit seperti dijadualkan.

JKJAV memaklumkan, sistem tempahan bagi vaksin AstraZeneca masih dikemaskini.

“Anda boleh memulakan tempahan slot pada jam 12.15 tengah hari. Maaf di atas kesulitan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, pemimpin pembangkang meluahkan kekecewaan mereka terhadap kelemahan sistem tempahan yang didakwa bernilai RM70 juta itu kerana gagal diakses walaupun hampir satu jam mencuba.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau masih cuba mendapatkan mendapatkan slot untuk keluarganya namun masih gagal walaupun sudah satu jam di hadapan komputer.

“Saya rasa, saya bukan individu yang bernasib baik daripada 300,000 individu ini,” katanya membalas catatan JKJAV di Twitter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berkata walaupun sudah memasuki pusingan ketiga, laman web tempahan itu masih berhadapan masalah sama.

“Laman web bermasalah sama seperti SOP Majlis Keselamatan Negara(MKN). Dah masuk pusingan ke-3, masih berhadapan dengan masalah sama,” katanya.

Pendaftaran pusingan kedua untuk vaksin AstraZeneca dibuka kepada orang awam bawah umur 60 tahun di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor serta Kuching dan Miri di Sarawak.

Sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan untuk pusingan kedua inisiatif Pelawaan Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) susulan penghantaran vaksin pada 21 Mei lalu dan satu lagi dijadualkan hujung bulan ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata langkah itu diambil berikutan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mendapati hanya 228,347 slot ditempah golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang diberikan keutamaan dalam pusingan kedua pemberian vaksin itu mulai Ahad lalu.

Pada pusingan pertama 2 Mei lalu, suntikan vaksin Astrazeneca dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan tinggal di Selangor atau Kuala Lumpur.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/26/astrazeneca-lebih-300000-ditempah-dalam-45-minit/