Sudah 5 kali harga ayam naik dalam minggu ni, rungut peniaga

Peniaga di sini mendakwa kenaikan harga ayam sudah berlaku lima kali sepanjang minggu ini daripada RM8 kepada RM10.70 sekilogram.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kuantan mendapati pengguna juga terkejut apabila harga ayam menunjukkan peningkatan ketara berbanding pada Khamis iaitu sekitar RM10.30 sekilogram.

Suasana di sekitar tempat penjualan ayam juga lenggang tanpa kehadiran pengguna dan peniaga mendakwa kemungkinan pengguna terkejut dengan kenaikan harga barangan basah itu secara mendadak.

Harga ayam naik 5 kali dalam tempoh 7 hari

Peniaga ayam, Azizah Omar, 33, mengakui tidak dapat menjual harga ayam bawah RM10 bagi setiap kilogram kerana mendapatkan bekalkan daripada pembekal pada harga tinggi.

Menurutnya, peniaga tiada pilihan dan terpaksa menjual pada harga tinggi serta menjangkakan aktiviti penjualan merosot berbanding sebelum ini.

“Kita terpaksa jual pada harga lebih RM10 sekilogram sebab harga dari pembekal sudah tinggi. Kita tahu pengguna terkejut sebab kenaikan mendadak dalam tempoh tidak sampai seminggu.

“Kenaikan ini antara paling tinggi dan kemungkinan harga ayam boleh mencecah RM11 sekilogram jika trend kenaikan di peringkat pembekal terus berlaku,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan pada Sabtu.

Azizah berkata, ada dalam kalangan pengguna tidak mahu membeli selepas melihat harga yang terlampau tinggi.

“Kebanyakan pengguna bertanya kenapa kenaikan ini berlaku dan kita akan terangkan kepada mereka.

“Kadangkala ada pengguna faham dan mereka tidak kisah membeli walaupun ayam dijual pada harga mahal, tetapi ada juga yang tidak mahu membeli beralih kepada daging serta ikan,” katanya.

Seorang lagi peniaga ayam, Wan Zaleha Wan Ahmad, 32, berkata, isu kenaikan harga ayam berlaku setiap tahun dan sudah memahami situasi tersebut.

Jelasnya, pihaknya diberitahu bahawa penternak dan pengeluar terpaksa menampung kos kenaikan harga dedak, anak ayam dan sumber tenaga pekerja asing.

Tambahnya, faktor itu dikatakan menjadi punca kenaikan harga ayam sejak seminggu lalu.

“Terus terang saya cakap setiap tahun peniaga ayam berdepan dengan isu sama. Kalau kita lihat banyak faktor kenaikan kesan daripada pembekal dan peladang.

“Jadi, bila harga naik, bukan peniaga sahaja terkesan, pengguna pun sama,” ujarnya.

Sementara itu, suri rumah, Maslinda Abdul Rahman, 51, mengakui terkejut apabila mendapati kenaikan harga ayam itu tidak munasabah.

Menurutnya, isu kenaikan harga ayam itu perlu ditangani kerajaan bagi memastikan harganya kembali stabil.

“Saya harap kerajaan melalui Kementerian perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan kenaikan harga ayam ini.

“Sebaiknya harga ayam dapat dikawal seperti biasa yang dilakukan setiap kali musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Nor Salasiah Mohamad Nor, 35, berkata, kenaikan harga barangan basah itu memberi kesan ketika berdepan dengan pendapatan tidak menentu.

“Ini harga ayam paling tinggi, sebelum ini tidak pernah cecah harga lebih RM10 sekilogram.

“Saya terpaksa beli juga sebab anak-anak suka makan ayam. Tapi kalau harga ayam ini makin naik, saya terpaksa beralih kepada ikan yang lebih murah,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/160785/EDISI/Harga-ayam-naik-lima-kali-dalam-tempoh-seminggu

BACA JUGA : Panas !!! Pemimpin Umno bidas Muhyiddin jenis tiada pendirian, hanya nak duduk dalam kerajaan sahaja