Suasana tidak harmoni menjelang September

Suasana tidak harmoni menjelang September.

Suhu politik negara menjadi ‘panas’ minggu lalu susulan keputusan yang dibuat oleh Umno untuk menarik diri daripada menyokong kerajaan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Beberapa pihak juga mendakwa bahawa PN selaku parti yang menerajui kerajaan sudah hilang majoriti akibat penarikan diri beberapa ahli Parlimen Umno berkenaan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mempersembahkan situasi semasa dan undi percaya akan dilaksanakan pada sidang Parlimen, September nanti.

suasana

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung proses demokrasi berkenaan menerusi perspektif Perlembagaan, Kafe Ahad menemu bual Pakar Perlembagaan dan Ketua Kluster Perundangan, Governans dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bersama wartawan Muhammad Saufi Hassan.

Apakah kaedah yang ada di dalam Perlembagaan untuk menentukan keabsahan sesebuah kerajaan?

Terdapat beberapa proses yang ada untuk menentukan keabsahan sesebuah kerajaan terutama sekali pilihan raya bagi menentukan mana-mana ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Pilihan raya menentukan siapa, parti mana yang mendapat sokongan majoriti dan secara kebiasaan ketua parti atau blok parti yang mendapat kepercayaan majoriti akan dipilih sebagai Perdana Menteri.

Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah terlebih dulu melantik seorang Perdana Menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Apa yang berlaku hari ini ialah Perdana Menteri dikatakan sudah tiada kepercayaan majoriti. Perdana Menteri sudahpun menghadap sembah kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa beliau masih lagi mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Satu persetujuan dicapai di mana Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Perdana Menteri membentangkan satu usul undi percaya pada sesi sidang Parlimen pada September depan.

Pernah berlaku di Sarawak dan di Perak, ketua menteri dan menteri besar dikatakan hilang majoriti melalui surat dan tanda tangan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Dun).

Namun, di Sarawak misalnya, mahkamah dalam kes Stephen Kalong Ningkan memutuskan bahawa undi tidak percaya hendaklah dikemukakan di dalam dewan perundangan dan pemaparan undi tidak percaya
di luar dewan tidak sah.

Di Perak pula wujud akuan bersumpah oleh beberapa ahli Dun bahawa mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar.

DYMM Sultan menitahkan semua ahli Dun menghadap baginda dan menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong atau tidak menteri besar sedia ada. Akhirnya terbukti menteri besar sudah hilang sokongan majoriti dan seorang menteri besar yang baru dilantik.

Krisis politik di Perak berkenaan dibawa ke mahkamah dan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa undi tidak percaya boleh dikemukakan di luar dewan perundangan di samping mengiktiraf cara Sultan menyelesaikan isu sama ada seorang menteri besar hilang sokongan majoriti atau sebaliknya

Dalam konteks semasa, apakah kesan yang dapat dilihat selepas penarikan diri beberapa ahli Parlimen daripada Umno?

Kesan langsung yang dapat dilihat adalah ramai yang masih memperkatakan status keabsahan kerajaan pada hari ini. Adakah kerajaan masih majoriti atau sebaliknya?

Walaupun jelas Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan usul undi percaya dilaksanakan pada sidang Parlimen September nanti.

Ada yang mempersoalkan kenapa perlu tunggu September; ia suatu tempoh masa yang agak lama. Jika benar kerajaan ini masih sah, undi percaya perlu dilakukan segera untuk memastikan keabsahan kerajaan sekarang.

Namun, jika kita perhalusi semula, ia adalah satu bentuk kompromi yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai meletakkan ‘tanda rehat’ untuk krisis kepimpinan ini dalam negara sedang berdepan dengan ancaman pandemik yang sangat serius.

Saya berpendapat bahawa keputusan yang diperkenankan oleh baginda amat tepat. Ia menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap maslahat rakyat dan negara. Ia juga untuk memastikan kerajaan dapat terus berjalan dan memberi fokus kepada usaha untuk melawan ancaman pandemik ini.

Mengapa perlu undi percaya?

Ini bertitik tolak kepada isu keabsahan sesebuah kerajaan. Oleh itu perlu untuk ditunjukkan bahawa kerajaan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Proses demokrasi memerlukan kerajaan yang diterajui oleh PN menunjukkan mereka mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat kelak.

Dalam situasi semasa sebelum sidang Dewan Rakyat bulan September kemungkinan berlaku ahli Dewan Rakyat menarik sokongan mereka kepada kerajaan, saya melihat Yang di-Pertuan Agong tidak berganjak dari keputusan asal.

Namun, suasana politik yang amat dinamik sekarang boleh mengwujudkan pelbagai keadaan luar jangkaan. Sebagai rakyat biasa, kita serahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku demi kepentingan negara.

Apakah yang akan berlaku kelak pada sesi sidang Parlimen September depan?

Usul undi percaya akan dibentang oleh kerajaan dan ahli Dewan Rakyat akan mengundi untuk usul itu.

Jumlah kerusi Dewan Rakyat sekarang adalah 220 kerana dua kerusi yang kosong masih belum diisi. Maka jika kerajaan mendapat 111 undi menyokong, kerajaan mempunyai majoriti mudah dan boleh terus memerintah.

Ia menunjukkan keabsahan kerajaan daripada sudut Perlembagaan.

Cuma, menjelang tempoh itu, saya kira pasti kita akan menyaksikan aktiviti berterusan penyataan sokongan dan penarikan sokongan dari ahli Yang Berhormat sama ada secara terang atau tersembunyi. Pengakhiran ialah pada bulan September di Dewan Rakyat.

Ini adalah warna warni politik tempatan yang tidak pernah sunyi dengan pelbagai insiden, kejutan dan corat-coret sejak bulan Februari 2020 apabila kerajaan PH runtuh.

Wujud dua situasi yang mungkin berlaku pada sesi undi percaya kelak, boleh Prof jelaskan?

Ada dua kemungkinan iaitu kerajaan akan mendapat majoriti mudah atau lebih. Jika ini berlaku maka tidak timbul lagi status keabsahan kerajaan kerana bukti majoriti sudah ditunjukkan.

Persoalan yang besar ialah kemungkinan kedua. Jika kerajaan gagal untuk meraih majoriti mudah berkenaan, undi percaya menjadi undi tidak percaya terhadap kerajaan seperti yang berlaku di Perak baru-baru ini.

Jika perkara berkenaan berlaku, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan. Perlembagaan membenarkan Perdana Menteri untuk sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong supaya Dewan Rakyat dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Bagaimanapun, dalam situasi ancaman pandemik yang memuncak, pastinya Yang di-Pertuan Agong akan mengambil kira kemudaratan besar kepada rakyat.

Perlembagaan memberi baginda budi bicara untuk tidak memperkenankan pembubaran Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong sebagai amalan biasa akan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Jika baginda mendapati seorang ahli Dewan Rakyat yang memenuhi kriteria tersebut, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri interim.

Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim selepas kerajaan PH tumbang mencipta satu konvensyen Perlembagaan yang diterima pakai oleh semua.

Biarpun Perlembagaan tidak mempunyai peruntukan nyata untuk melantik seorang Perdana Menteri interim, peruntukan perkara 43(2)(a) dibaca dengan perkara 39 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dalam situasi mendesak.

Saya juga berpandangan bahawa kuasa yang dilaksanakan tergolong dalam kuasa prerogatif, ataupun kuasa eksekutif dan juga boleh dihujahkan sebagai penciptaan satu konvensyen Perlembagaan baru.

Bagi memastikan keabsahan seorang Perdana Menteri interim, Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu menentukan ruang lingkup kuasa Perdana Menteri interim berkenaan. Perkara pokok seperti jangkamasa perlantikan, kuasa membentuk Jemaah Menteri dan seumpamanya perlu dijelaskan.

Ini untuk mengelakkan dari sebarang kontroversi dan konflik yang mungkin berbangkit dalam menjalankan kuasa interim tersebut. Jelas dari konotasi interim tersebut, jangkamasa kerajaan interim seharusnya tidak berpanjangan dan ia perlu menyatakan dengan jelas tujuan dan keperluan kerajaan itu.

Semua itu perlu jelas supaya tidak berlaku isu berbangkit dan Perdana Menteri interim ini hanya untuk satu jangka masa pendek saja dalam penyelesaian krisis.

Apakah wujud kemungkinan pilihan raya tetap diadakan namun keadaan yang berbeza?

Pilihan raya secara hibrid boleh dilaksanakan iaitu tidak ada rapat umum secara fizikal, kempen melalui poster dan secara maya, kebanyakan warganegara membuang undi menerusi pos dan pelbagai pendekatan berbentuk norma baru.

Jika kita lihat di Amerika Syarikat (AS) contohnya, pilihan raya diadakan ketika kemuncak kes Covid-19 dan pengundian diadakan secara hibrid dan kebanyakan rakyat mereka mengundi secara pos.

Apa yang penting Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya dan norma baru kempen dan pengundian perlu difikirkan. Kita perlu menyesuaikan keadaan mengikut situasi semasa dan pilihan terbaik adalah menerusi pilihan raya secara hibrid.

Berdasarkan pandangan Prof, apakah jalan penyelesaian yang boleh diambil untuk menyelesaikan krisis politik ini?

Kita mungkin akan menemui jalan penyelesaian pada September ini. Cuma kita tidak pasti bahawa ia adalah penyelesaian terbaik atau sebaliknya.

Setiap blok politik mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Di samping itu isu lompat parti adalah isu yang memeningkan. Lompat parti tidak boleh dilarang kerana kita tiada tiada peruntukan perundangan yang khusus.

Landskap politik negara yang banyak berpandukan atau berasaskan kepada parti politik. Jadi, pertembungan serta konflik antara parti tidak boleh dihalang dan dielakkan .

Apa yang kita perlukan ialah mencapai ‘konsensus nasional’ yang dapat mengurangkan jika tidak dapat menghapuskan jurang perbezaan berdasarkan prinsip politik kepartian. Jika kita dapat mengutamakan dan mendahulukan agenda negara dan kepentingan rakyat serta menerapkan semangat kerjasama dalam bentuk konsensus nasional, maka kita dapat mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan.

Saya pasti setiap orang mahukan krisis ini diselesaikan dengan baik dan segera selaras dengan semangat kesaksamaan, adil dan berteraskan prinsip yang wujud dalam Perlembagaan kita sebagai undang-undang yang tertinggi di negara kita.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/08/739933/pesta-sokong-tak-sokong-menjelang-september

BACA JUGA : Panas !!! Nazri boleh berubah sokongan sekelip mata, pesan MP Umno

CATEGORIES