Solat fardhu berjemaah dan Jumaat dibenarkan ikut keluasan masjid di Pulau Pinang

Oleh MHDAILY

Pulau Pinang membenarkan sembahyang fardu dan sembahyang Jumaat dengan kehadiran jemaah mengikut keluasan ruang masjid atau surau di negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata perkara itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) terkini di masjid dan surau di negeri ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini.

“Bermula hari ini, sembahyang fardu di masjid atau surau dibenarkan dengan kehadiran mengikut keluasan begitu juga dengan sembahyang Jumaat dan ia (sembahyang Jumaat) dengan minimum jemaah 40 orang, namun ia terbuka hanya untuk anak kariah, warga tempatan dan pemaustatin tetap sahaja yang berusia 12 hingga 70 tahun.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Ruang sembahyang untuk musafir, pemandu teksi atau pekerja e-hailing turut disediakan di masjid atau surau supaya mereka dapat menunaikan sembahyang fardu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata laungan azan akan kembali kepada lafaz biasa yang sebelum ini laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata bagi sembahyang jenazah dan urusan pengebumian, ia hanya dibenarkan kepada 30 orang sahaja yang terdiri daripada ahli keluarga dan pihak yang menguruskan pengebumian dengan sembahyang jenazah perlu dilakukan di petak yang disediakan manakala aktiviti menziarah kubur masih tidak dibenarkan.

Katanya, majlis ilmu seperti kuliah maghrib, bacaan surah Yasin dan tahlil dibenarkan, namun ia hanya boleh dijalankan selepas sembahyang maghrib hingga sembahyang isyak sahaja.

“Bagi khutbah Jumaat pula, hanya khatib yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sahaja dibenarkan dan (khatib) perlu membaca teks yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) sahaja.

“Khutbah (Jumaat) perlu berlangsung dalam tempoh 10 minit…khatib jemputan tidak dibenarkan manakala untuk majlis ilmu, penceramah dari luar Pulau Pinang juga tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliah di masjid atau surau di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Pulau Pinang menangguhkan beberapa aktiviti di masjid dan surau negeri itu berikutan pelaksanaan PKP namun pada minggu lepas, sembahyang fardu di semua masjid dan surau dibenarkan dengan maksimum 15 jemaah sahaja selain sembahyang Jumaat pula antara 12 hingga 45 jemaah termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/562303