Sidang parlimen perlu untuk bincang Covid-19, lupakan usul undi tak percaya – Guan eng

Sidang parlimen perlu untuk bincang Covid-19, lupakan usul undi tak percaya – Guan eng

Parti pembangkang, DAP sekali lagi menggesa Parlimen bersidang dan memberi jaminan tidak akan menyokong undian tak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebaliknya berkata mereka cuma berminat membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Parlimen digantung sejak 12 Jan susulan pengisytiharan Darurat selama lapan bulan untuk menangani pandemik Covid-19.

Sebulan kemudian, Istana berkata Parlimen masih boleh bersidang.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya mengadakan sidang Parlimen tergempar seperti dilakukan di Johor.

“Sultan Johor mencadangkan semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta kerajaan negeri itu bertemu dan membincangkan langkah pengekangan Covid-19 sebagai alternatif susulan penggantungan sidang Parlimen.

“Pendekatan Sultan Johor ini lebih baik daripada prestasi kerajaan PN yang menggagau dengan pelbagai kesilapan polisi serta perubahan SOP,” katanya.

Menurutnya, kadar keberjangkitan Covid-19 atau nilai R0 (R naught) berdasarkan kes harian di seluruh negara mencapai 1.1, manakala kadar vaksinasi juga tidak mencapai sasaran iaitu 2.6% daripada populasi bagi dua dos, lebih rendah berbanding kadar vaksinasi Indonesia iaitu 3.4% untuk dua dos.

Lim berkata, rekod kematian yang begitu tinggi iaitu 6,806 kes jangkitan dan 59 kematian pada 20 Mei menunjukkan kegagalan kerajaan PN dalam menangani pandemik.

“PN mesti memberikan penjelasan penuh mengapa krisis Covid-19 menjadi begitu teruk walaupun RM60 bilion diperuntukkan untuk menangani wabak,” katanya.

Lim berkata, pada 2020 RM38 bilion diperuntukkan untuk dana Covid-19, RM17 bilion pada 2021 dan tambahan RM5 bilion juga baru-baru diambil daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Bagaimanapun, katanya, RM60 bilion bagi dana Covid-19 tidak merangkumi RM567 bilion diperuntukkan untuk pemulihan ekonomi.

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana semua wang ini dibelanjakan sedangkan rakyat tidak merasakan atau menikmati manfaat RM627 bilion dana kerajaan sejak tahun lalu,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/21/biar-parlimen-bersidang-dap-janji-tak-sokong-undian-tak-percaya/