Sidang khas tak sama dengan sidang yang Agong titahkan

Sidang khas tak sama dengan sidang yang Agong titahkan

Sidang khas tak sama dengan sidang yang Agong titahkan. Sidang Parlimen Khas yang dicadangkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, sama sekali tidak memenuhi apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, sidang khas yang dimaksudkan Speaker hanya akan membincangkan soal berkaitan pindaan peraturan mesyuarat dewan untuk membolehkan satu sidang hibrid diadakan selepas daripada 1 Ogos iaitu tarikh akhir darurat.

sidang khas

Namun katanya, apa yang dimaksudkan oleh Agong adalah sidang bagi membolehkan perbincangan berasaskan kepada perlembagaan 150 (3) iaitu untuk memastikan supaya proklamasi darurat dan Ordinan-ordinan darurat dibawa ke Parlimen.

“Istana Negara melalui kenyataannya menyebut bahawa Agong bertitah agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin bagi mmbolehkan Ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan kesemua ahli Dewan Rakyat.

“Apabila tempoh darurat tamat, tidak ada makna lagi untuk proklamasi darurat dan ordinan itu dibawa ke Parlimen kerana darurat sudah tidak ada dan ordinan sudah tidak lagi berkuatkuasa.

“Bagi saya kenyataan dibuat kedua-dua Speaker ini menunjukkan keengganan Perdana Menteri untuk melaksanakan titah Agong,” katanya dalam satu siaran video di Facebooknya lewat malam tadi.

Pada semalam, Rais dan Azhar menerusi kenyataan selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku.

Titah itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan mereka mencadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, kata kenyataan itu.

Sementara itu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan bahawa kenyataan kedua-dua Speaker itu seperti merendahkan kedudukan Agong.

Ini katanya merupakan kebiadaban yang dilakukan oleh kerajaan terutama Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk menunjukkan bahawa beliau lebih berkuasa daripada Agong.

Beliau turut menganggap kenyataan Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat itu sebagai proses melengah-lengahkan sidang.

“Saya harapkan Agong sekali lagi bertindak secepat yang mungkin untuk memastikan bahawa perdana menteri disingkirkan daripada kedudukannya kerana keengganan dia mematuhi titah Agong sebanyak tiga kali,” katanya lagi

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/sidang-parlimen-khas-yang-dicadang-speaker-tidak-memenuhi-titah-agong/

Jika Anda Terlepas: Panas !!! Muhyiddin kini hanya ada dua pilihan