Setelah kecoh di media sosial, akhirnya KL pun kena PKP

Setelah kecoh di media sosial, akhirnya KL pun kena PKP

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu.

PKP ini akan bermula 7 Mei sehingga 20 Mei 2021, maklum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ini jelasnya, selepas meneliti pembentangan serta cadangan daripada Kementerian Kesihatan.

“Sejak 1 April sehingga 27 April 2021, KKM mengesahkan sebanyak 17 kluster baru telah direkodkan di seluruh WP Kuala Lumpur dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat,” katanya hari ini.

Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP kali ini sama seperti yang telah diumumkan sebelumnya.

Jelasnya, di Johor, PKP melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

PKP di Perak pula membabitkan Mukim Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama.

Sementara itu, 14 mukim dalam daerah Besut, Terengganu di kenakan PKP.

Ia melibatkan mukim Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Kata Ismail, pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran selain menyekat penularan jangkitan ke luar lokaliti ini.

Jelasnya, SOP PKP sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut, sila rujuk di laman sesawang MKN iaitu https://www.mkn.gov.my

Berikut antara SOP yang telah ditetapkan:

Dengan itu, pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, kecuali atas urusan kerja dan kecemasan.

Premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 12.00 malam sahaja.

Walaubagaimanapun, dine-in di kedai makan adalah tidak dibenarkan. Makanan haruslah dibungkus untuk dibawa pulang sahaja.

Kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 10.00 malam.

Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 10.00 malam bagaimanapun stesen minyak di lebuhraya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Selain itu, hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi seperti biasa.

Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang.

Bazar ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat. Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan ataupun menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Semalam, kerajaan mengumumkan PKP di Selangor akan bermula esok sehingga 17 Mei di daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/573508