Setelah jadi kerajaan pemimpin DHPP umum letak jawatan, dakwa Pas tidak lagi mesra bukan muslim

Setiausaha kebangsaan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) S Barathidasan mengumumkan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam dewan berkenaan.

Ini selepas dia mendakwa menghadapi kesulitan membawa suara bukan Muslim melalui platform itu.

“Dengan rasa rendah diri saya memohon melepaskan semua jawatan yang disandang dalam DHPP.

“Tujuan peletakan jawatan ini adalah disebabkan masalah dan kesulitan yang tidak dapat dielakkan dalam DHPP dan isu-isu yang berterusan berlaku sehingga saya tidak dapat membawa suara rakyat bukan Muslim khususnya masyarakat kaum India,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, dia telah menghantar surat letak jawatan bertarikh 22 Disember 2020 yang diserah pada 30hb Disember 2020 kepada Setiausaha Agung PAS Pusat.

“Memandangkan pandemik Covid-19 yang makin berterusan sehingga banyak mesyuarakat DHPP pusat terpaksa ditunda.

“Maka DHPP PAS Pusat mengadakan mesyuarat dewan hariannya pada 21hb Februari 2021 dan menerima keputusan saya untuk melepaskan semua jawatan,” katanya.

Selain setiausaha, Barathidasan turut menyandang Urusetia DHPP Pusat, Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, Pengarah Pilihan Raya DHPP Pusat, AJK Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat dan AJK BAKIP.

Dia menyertai DHPP pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, Barathidasan mendakwa bahawa PAS tidak lagi mesra dalam isu-isu bukan Muslim.

“Walaupun parti itu kata ‘PAS untuk semua’, namun, secara realiti sejak akhir-akhir ini parti itu jarang menyentuh isu-isu bukan Muslim.

“Malah, pusat pimpinannya tidak cuba menyelesaikan beberapa isu yang mengecewakan masyarakat bukan Melayu khususnya di Kedah,” katanya.

Sementara itu, Barathidasan berkata bahawa perjuangannya demi rakyat dan negara akan diteruskan.

“Saya akan menentukan hala tuju masa depan karier politik saya dalam masa yang terdekat.

“Perjuangan saya demi rakyat dan negara belum selesai lagi, saya akan terus berkhidmat dan menyuarakan rintihan rakyat,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/563827

COMMENTS

Wordpress (0)