Setelah disingkirkan, Shahidan janji akan dedah gerakan sokong Anwar dalam Umno

Setelah disingkirkan, Shahidan janji akan dedah gerakan sokong Anwar dalam Umno

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan akan mendedahkan gerakan mendapatkan tanda tangan ahli-ahli parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media khasnya, Shahidan mendakwa gerakan mendapatkan sokongan ahli parlimen UMNO itu dilakukan ketika sidang parlimen Oktober tahun lepas namun usaha itu menemui kegagalan.

“Selepas hari raya nanti, saya akan buat kenyataan tentang gerakan untuk mendapatkan tanda tangan bagi menyokong Anwar ketika sidang parlimen lepas.

“Gerakan itu amat hebat jugalah tetapi tidak berjaya, saya menyimpan perkara itu kerana mahu menjaga aib kawan-kawan.

“Kalau keputusan parti kita sokong Anwar, kita sokonglah tetapi parti kita ‘No Anwar’,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di ibu negara, Sabtu malam.

Shahidan digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dan digantikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Keputusan menggantikan Shahidan itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Mengulas penggugurannya itu, Shahidan berkata beliau hanya mengetahui perkara itu dari berita yang disiarkan oleh media namun menerimanya kerana ia adalah hak presiden parti.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/shahidan-akan-dedahkan-gerakan-sokong-anwar-selepas-hari-raya-294949