Setahun buka tutup perniagaan kerana PKP ,masihkah mampu bertahan? Selasa hadapan merupakan permulaan minggu ke empat PKP 3.0 ++. Di akhir minggu itu cukuplah 4 minggu yang mana banyak aktiviti perniagaan terpaksa diberhentikan.
Bila perniagaan terhenti, tiadalah pendapatan. Walau bagaimana pun, kos tetap seperti sewa, gaji pekerja dan lain-lain kos berdasarkan masa tetap berjalan.
Darah bagi perniagaan adalah aliran tunai. Walaupun tidak untung tetapi jika aliran tunainya masih positif, perniagaan masih boleh bertahan. Hanya ada dua tiga sumber untuk ini boleh berlaku. Menggunakan tunai simpanan, menjual aset yang tidak kritikal dan juga meminjam.
Selepas lebih dari setahun buka tutup perniagaan disebabkan pelbagai versi PKP, tentunya kedudukan kewangan kebanyakan perniagaan tidaklah lebih kukuh berbanding dengan sebelum pandamik Covid-19 bermula. Berapa banyak perniagaan, khususnya perniagaan kecil, yang boleh bertahan selepas 28 Jun nanti?
Kerajaan sudah menzahirkan indikator dan tindakan di dalam “pelan” pemulihan negara. Maknanya, jika indikator yang ditetapkan tidak tercapai, kita akan kekal di dalam fasa 1. Macam sekaranglah. Perniagaan yang terhalang sekarang akan tetap terhalang sehingga kesemua ciri-ciri yang ditetapkan tercapai.
Persoalannya, adakah mereka mempunyai tunai yang cukup untuk bertahan?
Bila perniagaan bungkus akan ada banyak implikasi. Pekerja terpaksa diberhentikan, hutang tidak dibayar serta aset menjadi beku dan tidak menjana hasil. Pengusahanya boleh menghadapi tindakan undang-undang. Ini akan menjadi satu rantaian. Ia boleh berjangkit kepada perniagaan yang bergantung kepada perniagaan yang ditutup pula.
Keperitan penutupan sebuah perniagaan tidak nampak seperti kematian seorang manusia. Orang yang hilang pekerjaan akan tertekan, keluarga menjadi murung serta kehidupan mereka terumbang ambing. Ini semua mungkin tidak nampak di mata kasar aktivis-aktivis media sosial yang menekan kerajaan supaya menutup kesemua aktiviti sosial dan ekonomi. “Nak PKP 1.0” desak mereka.
Membentuk polisi awam bukanlah mudah. Akan ada kebaikan dan keburukan yang perlu diimbangi. Jika dibuat dengan paling objektif pun amat mencabar.
Apa lagi jika orang lain yang mempunyai kepentingan yang berbeza campur tangan.
Semakin hampir berakhirnya minggu ke empat PKP 3.0 ++, semakin tinggi risiko apa sahaja keputusan yang bakal dibuat. Apa yang orang putih kata “margin of error” semakin kecil dan implikasi kepada nyawa dan pelbagai aktiviti kehidupan menjadi meruncing.
Sama-samalah kita tunggu dan doa.
Sumber: