Serang menyerang dalam Umno dilihat berterusan

Serang menyerang dalam Umno dilihat berterusan

Serang menyerang dalam Umno berterusan. Perang saraf antara kumpulan dalam Umno berterusan dengan masing-masing menyatakan pandangan berbeza berkenaan sokongan majoriti yang dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ia selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 7 Julai lalu.

Beberapa pemimpin Umno membayangkan Zahid memberi gambaran salah berkenaan keputusan MT parti itu.

Serang

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, yang tidak setuju untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), mendakwa majoriti ahli MT juga tidak menyokong keputusan itu.

Dalam pertemuan itu, mereka yang hadir mengatakan mereka tidak setuju dengan keputusan menarik balik sokongan kami.

“Kami percaya bahawa kami perlu menyelesaikan masalah yang melibatkan rakyat dahulu kerana mereka dibebani oleh banyak perkara dan oleh itu, mereka harus menjadi keutamaan kami,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Beberapa jam sebelum pengumuman Zahid, Muhyiddin melantik Ismail sebagai timbalan perdana menteri. Langkah itu dilihat satu usaha untuk mengekalkan sokongan Umno.

Serang menyerang

Bagaimanapun, lebih ramai ahli MT Umno yang tampil untuk menyuarakan sokongan terhadap keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, berbanding yang menyangkalnya.

Mereka termasuklah timbalan presiden Mohamad Hasan serta Azalina Othman, Ahmad Maslan, Asyraf Wajdi Dusuki dan Noh Omar.

Malah Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin juga berkata dia “menghormati” keputusan parti walau tidak setuju dengannya.

Terbaru, Pengerusi Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menyuarakan sokongan terhadap langkah itu.

Dia berkata, perhimpunan agung Umno (PAU) pada Mac lalu telah memberi mandat kepada presiden dan MT untuk memutuskan tarikh untuk menarik diri daripada kerajaan PN.

“PAU merupakan badan tertinggi parti yang telah pun membuat keputusan sedemikian, maka perlulah dipatuhi oleh setiap pemimpin dan ahli parti dan Pahang tidak terkecuali,” katanya yang juga menteri besar Pahang di Facebook.

Dua tokoh utama yang mendakwa Zahid memberi gambaran salah terhadap keputusan MT adalah Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassin dan Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Bagaimanapun, kedua-duanya bukan ahli MT.

Pada 8 Julai lalu, satu kenyataan yang mendakwa mewakili “semua ahli Parlimen BN” dikeluarkan bagi menyatakan yang mereka menyokong Muhyiddin.

Kenyataan bersama itu tidak mengandungi kepala surat rasmi BN, dan juga tidak mempunyai senarai penandatangan. Bagaimanapun, seorang pegawai Ismail berkata kenyataan itu adalah “sah”.

Ia kemudian disangkal bekas perdana menteri Najib Razak.

Apa-apa pun, Zahid dilihat mempunyai sokongan majoriti ahli MT tetapi dia tiada kawalan terhadap sokongan majoriti di kalangan 38 ahli Parlimen parti itu.

Muhyiddin memiliki majoriti empat kerusi di Parlimen. Ini bermakna Zahid tidak memerlukan sokongan begitu ramai ahli Parlimen Umno untuk mengatasinya.

Hari ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands daripada Umno, Ramli Mohd Nor berkata dia menyokong keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Saya selaku ahli Parlimen Cameron Highlands berpendirian dan mengambil ketetapan selaras dengan keputusan yang diambil Wan Rosdy selaku pengerusi Umno Pahang dan ketua Bahagian Umno Cameron Highlands.

“Ia adalah selari dengan keputusan MT pada 7 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, ini bermakna Zahid memiliki sokongan sekurang-kurangnya sembilan ahli Parlimen Umno.

Bagaimanapun, sukar untuknya menyingkirkan Muhyiddin dalam masa terdekat.

Terdahulu, Peguam Negara Idrus Harun berkata Muhyiddin boleh terus menjadi perdana menteri memandangkan sokongan majoritinya tidak ditentukan oleh kenyataan Zahid.

Katanya, ia perlu diputuskan di kalangan ahli Parlimen sendiri, yang akan kembali bersidang pada 26 Julai ini.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/582487

Jika Terlepas : Husam dedah, akhirnya terbukti benar