Selepas pengumuman Muhyiddin, doktor kontrak pula beri respon balas

Oleh MHDAILY

Gerakan Hartal Doktor Kontrak mendesak kerajaan mempertimbangkan supaya semua doktor kontrak ditawarkan perjawatan tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara itu dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #HartalDoktorKontrak yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang diwakili Pesuruhjayanya, Nik Salida Suhaila Nik Salleh.

Jurucakapnya, Dr Mustapha Kamal A Aziz berkata, desakan itu dibuat kerana pandemik Covid-19 meningkatkan penglibatan doktor dan petugas perubatan kontrak, namun tiada pampasan setimpal diberikan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia 1:454

“Sehingga hari ini, proses pelantikan tetap masih menemui jalan buntu dengan proses pemilihan dan perjawatan masih samar. Saban hari kami hanya diberitahu bahawa pelantikan semua bergantung kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Lagi memburukkan keadaan, pihak Kementerian Kesihatan dilihat memandang enteng usaha membantu menyelesaikan isu ini sekali gus mengakibatkan pelbagai respons negatif pelbagai pihak,” katanya pada sidang media maya selepas sesi penyerahan memorandum itu.

Katanya, penyambungan kontrak perjawatan yang disambung juga masih dilihat sebagai tiada hala tuju sebenar sekali gus menafikan hak doktor yang bertungkus-lumus menggembleng tenaga pada masa pandemik ini.

“Kami tidak minta untuk pencen, tetapi cukup sekadar serapkan kami kepada jawatan tetap dengan caruman KWSP.

“Dengan jawatan tetap ini, mudah bagi kami mengembangkan kerjaya dengan lanjutan pengajian atau memilih pengkhususan sebagai persediaan menjadi doktor pakar, melainkan kerajaan mengubah dasar sedia ada,” katanya.

Jelasnya, disebabkan eksploitasi dan tiadanya peluang untuk mengambil pengkhususan, ramai antara doktor kontrak terpaksa meninggalkan perkhidmatan kesihatan awam.

“Ini bakal menyebabkan kekurangan staf di hospital awam, terutama di kawasan pedalaman di mana ramai bergantung kepada sistem kesihatan awam. Keadaan kerja yang memudaratkan pekerja kesihatan memberi kesan kepada kualiti penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau turut mendakwa gelombang ketiga Covid-19 yang lebih dahsyat berbanding gelombang sebelumnya dicetuskan oleh kegagalan ahli politik dalam menjaga garis panduan kesihatan.

“Sistem kesihatan kita juga berada dalam keadaan kritikal. Kami memandang berat isu pelantikan tetap ini kerana ia berkait rapat dengan masa depan bidang perubatan negara.

“Jika isu pelantikan tetap pegawai perubatan ini masih menemui jalan buntu, tidak dinafikan kita bakal ketinggalan sekali gus menjadi titik-tolak kepada zaman kegelapan bagi bidang perubatan negara.”

Katanya, semua doktor berstatus kontrak akan menyertai mogok aman hampir di semua hospital awam utama seluruh negara bermula 11 pagi 26 Julai ini.

Seorang doktor kontrak berkata, hartal atau mogok pada 26 Julai ini bertujuan mendedahkan realiti sebenar bahawa sistem kesihatan negara semakin tenat dengan seorang demi seorang doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, ia dibuktikan dengan majoriti pegawai perubatan dan petugas kesihatan semakin ramai mengalami gejala “burnout” susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

“Kita tetap mahu laksanakan hartal pada Isnin depan kerana tuntutan kami selama ini bergerak perlahan. Kami lakukan ini untuk rakan-rakan lain juga,” kata Dr Umar Baraka yang turut menyertai sidang media maya itu.

Sidang media itu turut dihadiri peguam kanan S Ambiga.

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor Kontrak bertegas akan mengambil tindakan drastik dengan bercuti sebagai tanda protes jika tuntutan berkait tawaran pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada gagal dilaksanakan. Kerajaan diberi masa tiga minggu untuk melaksanakan tuntutan itu.

Sementara itu, Ambiga berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian menyeluruh oleh kerajaan atau sektor kesihatan awam bakal kehilangan doktor pelapis di hospital awam.

“Jika tidak ditangani dengan baik, sektor kesihatan awam akan kehilangan mereka kerana doktor kontrak ini sudah pasti akan beralih ke sektor swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Salida yang juga pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpendapat, perkara berkenaan perlu diberi perhatian sewajarnya dan penyelesaian konkrit diambil oleh Kementerian Kesihatan.

“Jika bukan semua (tuntutan dipenuhi), kita boleh selesaikan beberapa isu kontrak doktor terlebih dahulu,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib, iaitu lima tahun.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, langkah penyelesaian segera itu adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Sebelum ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak tular di Twitter sebagai tanda sokongan terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak.

Kempen tanda pagar itu turut membuat gerakan supaya pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 26 Julai ini.

Ia susulan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 23 Jun lalu bahawa jawatan doktor kontrak membabitkan seramai 23,077 orang dilanjutkan selama setahun bermula 5 Dis 2021 hingga 4 Dis 2022.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/23/kami-hanya-mahu-jawatan-tetap-dengan-caruman-kwsp-tak-perlu-pencen-kata-doktor-kontrak/

BACA JUGA : Panas !!! Dakwaan tepis tangan, Caprice kantoikan Ebit Lew dengan muatnaik bukti video