Selangor sahut titah Raja-Raja Melayu, MB dan Speaker bincang tarikh buka sidang Dun

Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secepat mungkin selaras titah baginda Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan juga titah Raja-Raja Melayu terhadap persoalan semasa dalam negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor hari ini bagi tujuan memulakan perancangan pelaksanaan titah berkenaan.

“Selanjutnya, saya akan mempersembahkan hasil perbincangan itu kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk perkenan baginda bagi tujuan melaksanakan persidangan Dewan Negeri Selangor secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau percaya titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar Dewan Rakyat dan DUN dapat segera bersidang adalah selaras dengan aspirasi rakyat agar usaha menangani Covid-19 dapat dinilai dan dibahas penambahbaikannya, di samping memelihara keluhuran perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor itu berkata, pihaknya amat menyanjung tinggi pendirian Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan keluhuran sistem demokrasi berperlembagaan dalam negara ini.

“Ini supaya proses semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Ini juga jelas menunjukkan baginda-baginda Tuanku tidak pernah terpisah daripada realiti serta keluh-kesah rakyat Malaysia seluruhnya,” kata ADUN Sungai Tua itu lagi.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/mb-selangor-speaker-bincang-pembukaan-sidang-dun-secepat-mungkin/