Sekat media : Apakah yang ditakutkan oleh kerajaan?, soal Salahuddin

Sekat media : Apakah yang ditakutkan oleh kerajaan,Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub menyelar perintah sekatan yang dikenakan terhadap agensi media dalam membuatliputan sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 13 September ini.

Soalnya, setelah hampir dua tahun perintah kawalan pergerakan (PKP) menyekat orang ramai, apakah kerajaan kini ingin menyekat pula kebebasan dan akses media, sedangkan parlimen adalah tempat permasalahan dibentangkan wakil rakyat.

Katanya, peranan agensi media penting untuk menyampaikan berita serta maklumat kepada masyarakat agar mereka menjadi lebih cakna dan peka.

Maka, katanya media tidak seharusnya dikawal dan ditapis-tapis sedemikian rupa.

“Apakah yang ditakutkan oleh kerajaan?

media

“Hampir dua tahun, kebebasan pergerakan kita tersekat dan hidup terkepung dengan pelbagai versi PKP. Rakyat mulai bosan dengan keadaan yang seperti tiada penghujungnya. Kini adakah kerajaan ingin menyekat pula kebebasan maklumat dan akses media?

“Di dewan yang mulia ini, Dewan Rakyat, di mana semua permasalahan rakyat dibentangkan, tetapi media-media terpilih sahaja yang boleh buat liputan.

“Di mana asas kebebasan bersuara dan laungan ‘Keluarga Malaysia’ yang dicanang,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun (gambar, atas) menyenaraikan 16 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan pada sidang akan datang.

Selain agensi media kerajaan, pihak lain yang dibenarkan termasuk Malaysiakini, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban, AFP dan MalaysiaNow.

Beberapa kumpulan media menggesa parlimen agar tidak mengekang liputan sidang Dewan Rakyat, dan turut menggesa Azhar menjelaskan bagaimana keputusan memilih media itu dibuat.

Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah mendesak supaya parlimen tidak menjadikan Covid-19 sebagai alasan atas keputusan itu.

Ini, jelasnya ketika kerajaan pada masa yang sama meminta rakyat bersedia untuk menuju fasa endemik Covid-19 dan menyesuaikan diri untuk hidup dengan virus berkenaan.

“Namun, kelihatannya, pihak kerajaan sendiri yang tidak bersedia. Cukup-cukuplah berselindung di sebalik perisai Covid-19,” katanya.

Dia menyifatkan tindak-tanduk itu menunjukkan kerajaan seperti melangkah ke belakang pada zaman media dikawal ketat pihak berkuasa, bahkan mungkin lebih teruk berbanding layanan diterima media sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Justeru, dia menyarankan menteri komunikasi duduk berunding bersama badan-badan yang mewakili ‘orang-orang media’ ini supaya tidak wujud unsur berat sebelah.

“Hentikan diskriminasi terhadap agensi media. Berikan hak sama rata dan jangan pilih kasih,” katanya lagi.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/590793

BACA: Lelaki China tengah gila buat pembedahan plastik untuk kelihatan kacak

Artikel ini disiarkan pada 10/09/2021