Seorang pemimpin Umno membidas kenyataan Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa perpecahan undi Melayu hanya menguntungkan DAP dan PKR.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi turut menuduh PPBM “hipokrit” tentang isu penyatuan ummah.
“Bukankah di PRU14 (pilihan raya ke-14), PPBM menubuhkan PH (Pakatan Harapan) bersama DAP dan PKR untuk tumbangkan Umno? Masa itu tidak fikir ke siapa untung, siapa rugi?
“Bahkan apa PPBM buat apabila aset Tabung Haji, Felda dan Khazanah yang banyak dijual. Hingga ke hari ini kerajaan PN (Perikatan Nasional) tidak berani tubuh RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) Tabung Haji,” kata beliau di Facebook.
Ahad lalu, Wan Saiful mengingatkan perpecahan undi Melayu hanya menguntungkan DAP dan PKR.
“Yang mahu memecahkan kesatuan politik Melayu bukan PPBM. Yang mahu membuka ruang untuk PKR dan DAP kembali berkuasa juga bukan PPBM,” kata beliau.
Puad juga mengingatkan PPBM agar tidak hipokrit dalam isu penyatuan ummah apabila ia tidak dapat pun menangani isu kalimah “Allah”.
Kata beliau, PPBM patut berasa malu untuk bercakap soal penyatuan ummah kerana dalam tempoh singkat, parti itu sudah melahirkan dua parti serpihan iaitu Pejuang dan MUDA.
“Apakah penyatuan ummah hanya terlaksana jika PPBM jadi bos penyatuan ummah dalam PN? PPBM sudah diberi peluang. Dengan tujuh (Ahli Parlimen), PPBM adalah bos dalam PN.
“Tetapi apabila PPBM mewujudkan ‘kluster katak’ untuk membanyakkan jumlah Ahli Parlimennya melalui tawar menawar, pujukan, ugutan dan jawatan, adakah itu baik untuk penyatuan ummah?” soal Puad.
Beliau berkata, taktik mengajak MP “lompat” parti sehingga parti lain berpecah adalah tindakan yang tidak jujur untuk penyatuan ummah.
“PPBM patut malu kerana mengutip ahli parlimen ‘rentas parti’. Tidak bermaruah,” tegas beliau.