Adik ini hubungi Steven Sim untuk bantuan, sedih rakan tak sertai kelas online

Sedih rakan tak sertai kelas online, Adik ini hubungi Steven Sim untuk bantuan

Ashley dan Nur merupakan rakan satu kelas. Kedua-dua mereka pelajar Darjah 2 di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Bukit Mertajam.

Sudah agak lama Ashley perasan bahawa Nur tak masuk kelas online. Baru-baru ini, dia minta ibunya tanya kepada ibu Nur mengapa kawannya tidak hadir ke kelas.

Apabila Ashely mendapati Nur tidak ada peranti untuk mengikuti kelas online, dia berasa amat sedih. Dia teringat ibu pernah kata ada “uncle” yang memberi peranti percuma kepada pelajar, lalu minta ibu untuk dapatkan bantuan daripada “uncle” itu.

Tadi, Ashley datang ke pejabat saya mengadu tentang kisah kawannya Nur. Ashley minta Uncle Steven Sim bantu.

Steven Sim

Steven Sim

Ayah Nur seorang pengawal keselamatan. Gajinya RM1,200 sebulan, terpaksa menanggung isteri yang tengah mengandung dan 2 orang anak yang bersekolah. Keluarga mereka pun berasa sedih Nur tak dapat mengikuti kelas online, tapi apatah daya.

Sebenarnya, oleh sebab sumber yang amat terhad, program Asal Cek Mau Pi Sekolah tidak merangkumi pelajar di bawah Darjah 4. Tapi bagaimanalah saya nak menolak permintaan seorang anak berumur 8 tahun untuk bantu kawannya?

Saya amat terharu melihat Ashley yang begitu sayangkan Nur. Saya tak sanggup menolak permintaan Ashley itu. Jadi saya membuat keputusan untuk guna duit sendiri, beri sebuah Samsung Tab A kepada Nur.

Hari ini Ashley membawa saya ke rumah Nur.

Dua orang kawan sekelas bertemu kembali hari ini setelah sekian lama tidak berjumpa. Berbahagialah anak-anakku. Kamu telah menginsafkan kami semua bahawa benci-membenci kerana berlainan warna kulit bukan fitrah manusia. Kasih sayang menang hari ini.

Sumber :