Sanusi tegur kempen bendera putih, patut guna saluran betul minta bantuan

Sanusi tegur kempen bendera putih, patut guna saluran betul minta bantuan

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengangap kempen mengibar bendera putih sebagai propaganda politik yang sengaja dicipta bagi membina persepsi negatif terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengingatkan orang ramai yang terputus bekalan makanan tidak mengibarkan bendera putih kerana terdapat pelbagai saluran lain boleh diguna bagi mendapatkan bantuan.

“Sebenarnya kerajaan dapat mengatasi pandemik Covid-19 dengan baik, tetapi kerana kecemburuan pihak tertentu hendak tunjukkan kegagalan kerajaan, mereka tak ada kerja jadi minta orang ramai yang memerlukan bantuan naikkan bendera putih.

Kempen kibar bendera putih sanusi

“Saya nampak ada Ahli Parlimen pembangkang yang pergi tolong rumah orang naikkan bendera putih, itu bukan kerja wakil rakyat, itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau ditemui selepas melawat kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim, hari ini.

Sanusi berkata, penduduk terjejas boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di 12 daerah di Kedah atau menghubungi pusat khidmat wakil rakyat bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan kepada semua yang terjejas tanpa mengira latar belakang politik dan latar belakang mereka.

“Angkat bendera putih sepatutnya hanya diguna dalam dua keadaan iaitu mengaku kalah dalam perang atau ketika perlawanan tinju.

“Sekarang kita belum kalah lagi, teruskan berjuang. Jadi gunakan saluran yang betul dalam mendapatkan bantuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan 1 Jun lalu, sejumlah 48,000 bakul makanan disediakan kerajaan negeri melalui 12 PKOB di setiap daerah.

Sementara itu, Sanusi mengumumkan peruntukan RM10,000 diluluskan untuk membeli makanan kering kepada 820 pelajar PTSB yang dikenakan PKPD mulai Sabtu lalu, selain tambahan RM10,000 diberi kepada PKOB Kulim.

PTSB Kulim dikenakan PKPD selama dua minggu apabila Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 22 kes positif Covid-19 selepas 423 pelajar yang berada di asrama disaring.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/01/bendera-putih-propaganda-politik-cemburu-mahu-tunjuk-kerajaan-gagal-kata-mb-kedah/

BACA JUGA : Panas !!! MB Kedah dilapor enggan hantar bantuan kepada mereka yang kibar bendera putih