Sanusi bidas MIC ikut rentak DAP dalam isu cuti Thaipusam

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, menyifatkan MIC sebagai parti yang “mengikut tarian DAP”, dengan memainkan isu perkauman yang melibatkan kepentingan kaum India.

Beliau mengulas kritikan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, semalam yang mendakwa menteri besar Kedah itu angkuh dan jahil mengenai hal ehwal penganut Hindu apabila membatalkan cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam tahun ini.

Sanusi berkata, selama Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah, parti itu tidak pernah membangkitkan persoalan tiada cuti peristiwa untuk Thaipusam di negeri itu.

Namun kini, MIC mengambil pendekatan yang lebih mirip kepada politik DAP, kata Sanusi.

“Dulu BN perintah Kedah 60 tahun, tak nak pernah timbul isu cuti Thaipusam…tak ada cuti pun, MIC tak bunyi, semua pemimpin BN senyap sunyi,” kata Sanusi.

“Hanya apabila DAP cuba ambil fungsi untuk menjadi hero politik orang India melalui pendekatan perkauman, melalui P Ramasamy (timbalan ketua menteri Pulau Pinang), MIC pun menari ikut DAP. Politik apa macam ini?” ujar Sanusi.

Semalam, Sanusi mengumumkan cuti peristiwa yang sebelum ini ditetapkan untuk sambutan Thaipusam pada 28 Jan dibatalkan.

Ini kerana segala acara bersempena perayaan itu dibatalkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Semenanjung. Dalam pada itu negara juga diletakkan bawah perintah darurat bagi membantu mengekang Covid-19 yang semakin serius.

Bagaimanapun keputusan itu dibantah Saravanan dan pemimpin MIC yang mendakwa cuti peristiwa itu tidak patut dibatalkan, kerana perayaan itu tetap disambut dengan upacara sembahyang dan menunaikan nazar di rumah.

Saravanan mendakwa keputusan Sanusi itu akan memberi kesan kepada PAS dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan pengundi India pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden MIC, T Mohan, berkata banyak keputusan Sanusi yang melibatkan kepentingan kaum India di negeri itu “rosak dan bertujuan meraih publisiti”.

Sanusi dan pimpinan pusat MIC sering bertikam lidah atas beberapa isu, termasuk perobohan kuil Hindu di tapak tanah kerajaan negeri sebelum ini. – FMT