Saman fitnah: Mahkamah arah Sultanah Terengganu bayar Clare RM80,000

Saman fitnah Mahkamah arah Sultanah Terengganu bayar Clare RM80000

Saman fitnah: Mahkamah arah Sultanah Terengganu bayar Clare RM80,000. Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak saman RM100 juta dikemukakan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, masing-masing terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown; penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin; dan pencetak, Vinlin Press Sdn Bhd.

Saman itu berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee, membuat keputusan itu pada prosiding melalui aplikasi Zoom, hari ini.

Mohd Johan Lee dalam penghakiman ringkasnya berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada tuduhan fitnah dibuat oleh Rewcastle-Brown menerusi kenyataan terbabit.

Beliau berkata, kenyataan bahawa Sultanah Nur Zahirah bersetuju dengan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), tidak menjatuhkan reputasi baginda selaku plaintif walaupun ada kesilapan fakta dalam kenyataan berkenaan.

Saman fitnah Mahkamah arah Sultanah Terengganu bayar Clare RM80000

“Hal sama juga dalam isu sokongan kepada seseorang untuk mendapatkan kerja, ia tidak memburukkan individu yang berbuat demikian, dengan mengambil kira sokongan atau surat sokongan adalah budaya di Malaysia.

“Kenyataan yang menekankan mengenai sokongan Sultanah Terengganu untuk (ahli perniagaan dalam buruan) Low Taek Jho atau Jho Low mendapatkan jawatan itu (Penasihat TIA), didakwa oleh Jho Low sendiri. Tiada apa-apa yang mencadangkan kebenaran mengenai perkara itu.

“Kesimpulannya, saya melihat tiada tuduhan fitnah dalam kenyataan dibuat walaupun ada perkara membabitkan masalah identiti. Dengan ini, kes plaintif ditolak,” katanya.

Turut serta dalam prosiding itu ialah dua peguam, Vishnu Kumar mewakili Sultanah Nur Zahirah, dan Americk Sidhu yang mewakili ketiga-tiga pihak disaman, termasuk Rewcastle-Brown.

Sementara itu, Americk memohon plaintif membayar RM50,000 kepada setiap anak guamnya sebagai kos mahkamah, termasuk perbicaraan hujahan defendan.

Bagaimanapun, Vishnu berkata, kos mahkamah memadai ditetapkan RM60,000 untuk ketiga-tiga defendan dengan mengambil kira perbicaraan kes itu tidak mengambil masa lama.

Mohd Johan Lee kemudian menetapkan plaintif membayar RM80,000 secara keseluruhan kepada ketiga-tiga defendan.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan itu berbaur fitnah, antara lain bermaksud baginda terbabit amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, serta menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu Jho Low untuk menjadi Penasihat TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan, serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku itu dan pencetak berhenti mencetaknya.

Dalam penyataan pembelaan, tiga pihak defendan terbabit menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit amalan rasuah.

Rewcastle-Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terbabit dalam konspirasi membabitkan Jho Low, dan tidak pernah mencadangkan bahawa baginda terbabit dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB.

BACA:

Nik Abduh muat naik gambar bumi ‘warna biru’ jadi bualan

Kalau dah jodoh…ramai sebak saksi pasangan warga emas kahwin semula lepas 63 tahun bercerai

Penampilan Cico sekarang sangat mengejutkan, ‘lain sangat dengan dulu’

CATEGORIES