Salahuddin kongsi pengalaman ikhtiar kawal harga ayam musim perayaan

Oleh MHDAILY

Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengawal harga barangan makanan terutama menjelang musim perayaan dan sambutan Ramadhan, kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bercakap menerusi pengalamannya ketika menjadi menteri dahulu, Salahuddin berkata, hanya dengan cara ini harga barangan keperluan khasnya ayam dapat dikawal terutama menjelang musim perayaan.

(Gambar atas Mei 2020, Salahuddin turun sendiri ke pasar untuk melihat sendiri agar harga ayam terkawal.- Gambar Johorkini)

Salahuddin mengulas kenaikan mendadak harga ayam di pasar-pasar ketika umat Islam mula berpuasa semalam.

Untuk rekod, harga ayam hanya dapat dikekang ketika dua tahun kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara iaitu pada tahun 2018 dan 2019.

Salahuddin memberikan dua tindakan utama yang dibuat oleh beliau semasa menjadi menteri dahulu bagi mengawal harga barangan keperluan termasuk ayam menjelang musim perayaan.

“Pertama, saya sendiri bertemu dengan pembekal utama ayam untuk berbincang dengan mereka bagaimana untuk memastikan harganya terkawal menjelang musim perayaan,” kata beliau.

Dari situ, katanya, kerajaan dapat memahami masalah mereka dan cuba membantu termasuk mengawal kenaikan harga makanan ayam.

“Yang kedua, saya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution duduk sekali berbaincang dengan pegawai-pegawai kami bagaimana untuk mengawal harganya,” cerita Timbalan Presiden AMANAH itu.

Dari kedua-dua pendekatan itu, katanya, harga ayam dikawal dua minggu sebelum musim perayaan.

“Misalnya bila puasa dah dekat, kami berbincang dan buat peraturan dan kuatkuasakan kawalan harga itu. Ia bermula dua minggu sebelum puasa dan dua minggu selepas raya,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline.

Pengawalan, penguatkuasaan yang keras dan konsisten ini, katanya, akan memastikan semua pihak mematuhi harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan di samping kerajaan memahami keperluan pembekal ayam ini.

Menurut Salahuddin, tanpa campur tangan kerajaan, harga barangan keperluan terutama ayam tidak dapat dikawal kerana permintaannya meningkat semasa musim perayaan.

“Jadi kerajaan yang ada kena kena mainkan peranan, baru ia dapat dikawal. Ini yang kita buat dahulu,” kata beliau menceritakan bagaimana kerajaan PH ketika itu mengawal harga barangan terutama ayam ketika musim perayaan.

Menurut beliau, kerajaan PH dahulu membuat perkara ini dua minggu menjelang semua perayaan, bukan menjelang Ramadhan dan Aidil Fitri sahaja tetapi juga semasa sambutan Tahun Baharu Cina, Thaipusam, Krismas dan juga untuk Hari Gawai.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/harga-ayam-dahulu-kami-kawal-2-minggu-sebelum-perayaan-kata-salahuddin/