Salahuddin dedah cerita sebenar mengenai usul pecat MP DAP..

Salahuddin dedah cerita  sebenar mengenai usul pecat MP DAP..

Cadangan untuk menggantikan bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin daripada kabinet Pakatan Harapan (PH) tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat kabinet, kata Salahuddin Ayub.

Menurut bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu, bukan itu sahaja, malah hal itu pun tidak timbul dalam mesyuarat Majlis Presiden PH ketika ia berkuasa dahulu.

“Dalam kabinet tak pernah dibincangkan, dalam mesyuarat Majlis Presiden (PH) pun tak pernah dibincangkan.

“Secara formal kita tak pernah bincang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur tadi.

Dia mengulas dakwaan dibuat Liew Chin Tong dalam bukunya berjudul Lim Kit Siang: Patriot. Leader. Fighter.

Dalam buku tersebut, bekas timbalan menteri pertahanan itu mendakwa cadangan untuk menggantikan Yeo dibangkitkan Dr Mahathir Mohamad pada Ogos 2019.

“Pada mesyuarat kabinet pada Rabu 21 Ogos, Mahathir berkata dia mahu membuat sedikit rombakan ke atas portfolio kabinet.

“Berita itu terbocor dan kami cemas,” tulis Liew.

Selepas itu, kata Liew dia mendapatkan maklumat mengenai apa yang berlaku daripada menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Katanya, dia dimaklumkan Lim bahawa Mahathir mahu melantik orang lain menggantikan Yeo kerana ketegasannya berhubung isu Lynas dan isu-isu lain berkaitan alam sekitar.

Yeo Bee Yin
Bagaimanapun katanya, pemimpin PH berjaya menghalang Mahathir daripada melaksanakan rombakan kabinet itu dan Yeo kekal menjadi menteri berkaitan.

Pun begjtu, Liew tidak menjelaskan secara khusus apa yang membuat Mahathir kecewa dengan tindakan Yeo.

Untuk rekod, beberapa hari sebelum tarikh mesyuarat yang disebutkan Liew itu, iaitu pada 15 Ogos 2019, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) mengumumkan syarat baru yang signifikan untuk syarikat Lynas Malaysia (Lynas) mendapat lesen daripada kerajaan.

AELB merupakan agensi yang berada di bawah tanggungjawab kementerian Yeo.

Antara syarat ditetapkan AELB ialah Lynas mesti memindahkan kemudahan cracking and leaching ke Australia dalam tempoh empat tahun, serta Lynas dikehendaki membatalkan rancangan untuk mengkomersialkan sisa buangan mereka sebagai baja “Condisoil”.

AELB turut mensyaratkan Lynas membina kemudahan deposit kekal (PDF) untuk menyimpan sisa yang sudah dihasilkan sejak 2012 dan berterusan sehingga 2023 iaitu apabila kemudahan proses cracking and leaching mereka dipindahkan ke Australia.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/571542