Salah satu warna kegemaran saya adalah merah, orang Islam pun boleh sambut Tahun Baru Cina – TYDP Pas Bentong

Oleh MHDAILY

PAS Kawasan Bentong telah mengadakan sumbangan kepada penduduk kaum Tionghoa dan golongan terjejas oleh pandemik COVID-19 sempena perayaan Tahun Baru Cina, kelmarin dahulu.

Antara yang menjadi fokus pemberian sumbangan berupa kit makanan ini adalah warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di mana bertujuan memudahkan keperluan makanan mereka pada musim perayaan.

Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pahang mengetuai sendiri program di Kampung Baru Perting dan Kampung Ulu Perting, di sini.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Menurut beliau, pihaknya sangat komited merealisasikan slogan ‘PAS For All’ di mana program sedemikian adalah antara rutin dilaksanakan dalam menyantuni masyarakat kaum Tionghoa setiap tahun baru.

“Ini merupakan antara tanggungjawab sosial dan tradisi PAS Bentong khasnya dam Pahang amnya bagi menyalurkan sumbangan bantuan kepada penduduk susah.

“Selain itu, inisiatif begini mampu memupuk nilai-nilai perpaduan dan perasaan sangka baik biarpun berbeza agama, bangsa mahupun fahaman politik,” ujarnya yang mesra dipanggil ‘Cikgu’.

Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa dalam lawatan itu berdepan pengalaman mencuit hati apabila ditanya sama ada Muslim boleh memakai warna merah dan menyambut Tahun Baru Cina.

“Merah juga warna kesukaan Nabi Muhammad S.A.W. Salah satu warna kegemaran saya adalah merah. Boleh, orang Islam pun boleh sambut Tahun Baru Cina,” ujarnya mewakili rombongan berbusana serba merah itu.

Di PAYA BESAR, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Paya Besar telah menyantuni masyarakat Tionghua di Taman Tas dan Kampung Panching, di sini.

Program ini adalah sempena Tahun Baru Cina dan memberi sumbangan berupa hamper kepada pekedai-pekedai Cina serta sumbangan berbentuk keperluan asas kepada keluarga Cina yang susah.

Turut hadir ialah ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Paya Besar, Md Yusop Harun serta Timbalan Pengerusi MCA Pandan Permai, Cheng Min Heng.

Sebanyak 50 hamper dan 20 kotak barangan keperluan asas telah dihantar terus ke premis perniagaan dan ke rumah-rumah tersebut dan rata-rata mereka gembira dan menyambut baik program sebegini, kelmarin.

“Semoga program ni dapat mengeratkan lagi hubungan di antara masyarakat di dalam negara kita. Semoga dengan program ini juga, kita dapat membina masyarakat yang lebih sejahtera dan aman damai,”ulas Ustaz Tarmizi.

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/13/pas-bentong-dan-paya-besar-merahkan-raya-cina/