RUU dicadang tak akan sekat sebaran agama lain, kata Menteri Agama

RUU dicadang tak akan sekat sebaran agama lain.Kawal sebar agama bukan Islam hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung Rang Undang-Undang Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Katanya, kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4), yang menjadi punca kuasa RUU itu, hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada sesama penganut agama lain.

“Justeru, pengembangan agama kepada penganut agama selain daripada penganut agama Islam adalah dibolehkan di sisi undang-undang. Hak kebebasan beragama bawah Perkara 11 juga masih dijamin walaupun RUU ini digubal dan diluluskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berpaksikan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan (dalam konteks Wilayah Persekutuan) untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

RUU

Idris berkata, sebanyak 10 negeri sudah meluluskan enakmen sama sejak 1980-an, kecuali empat negeri yang belum lagi melakukan perkara sama, iaitu Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Dalam hal ini, Wilayah-wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan agama, yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan, sama seperti negeri-negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam konteks ini, RUU dicadangkan hanya akan digunapakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja dan bagi negeri lain yang belum menggubal enakmen ini, penggubalannya bergantung kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing.

“Proses penggubalan RUU ini tetap sama sahaja seperti RUU yang lain. Ia akan mengikut tertib yang sewajarnya. RUU ini tetap memerlukan kepada persetujuan dasar di peringkat Kabinet, perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan perlu diluluskan di peringkat Parlimen,” katanya.

Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah meneliti sebaiknya perkara ini dan memastikan proses penggubalan RUU berkenaan dibuat mengikut tertib yang betul serta bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berharap agar isu ini tidak dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu, sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/10/kawal-sebar-agama-bukan-islam-hanya-tertakluk-kepada-penganut-islam-kata-menteri-agama/

BACA: Wakil rakyat yang baik adalah yang hulur duit, pandangan sebegini perlu dihentikan