Rina terus menerus pamer kegagalan

Rina terus menerus pamer kegagalan.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun yang memegang portfolio sama ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN), pernah berjanji akan membentangkan Rang Undang–undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen, namun tidak berbuat demikian.

Selepas beberapa minggu menjawat jawatan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, Rina sekali lagi membuat kenyataan yang menjurus kepada kegagalan beliau menunaikan janji itu.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh, berkata Rina ketika berucap di Sungai Pelek, Selangor, selepas penyampaian sumbangan dan Bakul Prihatin Negara pada 8 September lalu berkata, tidak perlu menunggu RUU Gangguan Seksual dibentangkan sebaliknya mangsa boleh membuat laporan terus kepada pihak berkuasa.

“(Ini) adalah bukti bahawa beliau tidak layak menjadi anggota pentadbiran dalam badan eksekutif yang tertinggi negara.

“Beliau gagal menggunakan kedudukan (sebagai menteri) untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan gagal memahami kepentingan RUU Gangguan Seksual bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada yang tidak mencukupi untuk menangani kes gangguan seksual,” katanya di Facebook.

Rina

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, Rina seharusnya lebih memahami bahawa laporan polis merupakan prosedur biasa diamalkan orang awam.

Katanya, jika Rina komited untuk membawa RUU berkenaan ke Dewan Rakyat, seharusnya beliau mengumumkan ketika berucap di majlis itu bila RUU Gangguan Seksual akan dibentangkan, bukan sekadar meminta mangsa membuat laporan polis.

“Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bertungkus-lumus membentangkan ‘road map’ RUU Gangguan Seksual, termasuk cadangan mewujudkan mekanisme perlindungan dan tribunal keadilan kepada mangsa, mendesak supaya Rina lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang seolah-olah tidak memihak kepada mangsa.

“Kerajaan juga digesa mengemukakan pelan menangani keganasan berasaskan gender, termasuk memberikan tumpuan kepada kes gangguan seksual dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan mengambil kira situasi semasa di mana kes gangguan seksual secara dalam talian juga dilaporkan meningkat dan memerlukan tindakan segera,” katanya.

Berita Penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/09/belum-100-hari-rina-sudah-gagal-kata-ketua-wanita-pkr/

BACA: Didakwa langgar arahan kuarantin, Lim Guan Eng akhirnya buka mulut

Artikel ini disiarkan pada 09/09/2021