Rentas daerah pergi ke pasar raya, dua lelaki dikompaun RM5,000

Rentas daerah pergi ke pasar raya, dua lelaki dikompaun RM5,000

Dua lelaki yang merentas daerah semata-mata mahu membeli belah di Bayan Lepas, di sini mengundang padah selepas mereka dikompaun polis RM5,000 setiap seorang, pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kedua-dua mereka dikesan dalam pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pusat membeli belah berkenaan kira-kira jam 3.23 petang.

Menurutnya, semakan kad pengenalan mendapati kedua-dua lelaki berusia 33 dan 26 tahun itu beralamat dalam Daerah Timur Laut dan gagal menunjukkan permit kebenaran merentas daerah berikutan pusat membeli belah berkenaan terletak di Daerah Barat Daya.

“Kedua-dua lelaki itu tahu kesalahan yang mereka lakukan dan mereka masing-masing dikenakan kompaun bernilai RM5,000 atas kesalahan ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Sementara itu, di Daerah Seberang Perai Utara, sebanyak 25 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk merentas daerah, tidak memakai pelitup muka dan gagal mengawal kemasukan pelanggan di dalam restoran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik restoran terbabit dikompaun RM20,000 selepas gagal memastikan pelanggannya mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang lain.

“Lima lelaki ditahan dalam tiga sekatan jalan raya kerana cuba merentas daerah tanpa permit yang sah dan kesemua mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/138606/BERITA/Semasa/Dua-lelaki-dikompaun-RM5000-rentas-daerah-ke-pasar-raya