Redzuan desak menteri Umno “2 wajah” letak jawatan

Oleh MHDAILY

Seorang pemimpin kanan PPBM mengkritik beberapa rakan sekerjanya dari Umno dalam Jemaah Menteri, menggambarkan mereka sebagai panglima perang yang “berwajah dua”.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusof tidak menamakan menteri berkenaan, mengatakan jelas mereka siapa melalui ucapan pada Perhimpunan Agung Umno semalam.

“Menteri-menteri ini bersikap lain di depan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin, tetapi ketika mereka berada dalam kalangan ahli parti sendiri, mereka bersikap sangat berbeza.

“Bagi saya, menteri ‘dua wajah’ ini boleh pergi. Sekiranya anda tidak mahu jadi sebahagian daripada kerajaan, jangan jadi,” katanya kepada FMT.

Redzuan berkata mereka yang berada dalam kerajaan mesti tegas dalam pendirian dan pegangan.

“Adakah anda mahukan perpaduan antara ummah supaya negara boleh maju ke depan atau adakah anda mahu meneruskan budaya panglima perang dalam Umno?” soal beliau.

Beliau “lega” apabila perhimpunan itu dilihat menunjukkan “perangai sebenar” panglima perang Umno, termasuk yang dalam Jemaah Menteri.

“Budaya panglima perang masih ada. Kita tahu beberapa personaliti dalam Umno mahu menggunakan parti itu untuk menjaga diri sendiri, untuk melepaskan diri dari keadilan. Ia mengecewakan ada orang lain mahu jadi sebahagian daripada itu.”

Mengenai resolusi yang diluluskan Umno, termasuk menolak kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), Redzuan berkata perkembangan itu tidak mengejutkan.

“Kita (PPBM) akan bertemu hari ini atau esok untuk membincangkan pendirian dan respons. Untuk PRU15, Muhyiddin sudah menyatakan dengan jelas kita sedia bersaing dengan Umno.

“Walaupun kita mahu semua parti Melayu bekerjasama, kalau Umno cabar, kita akan sahut.”

Pada Sabtu, Muhyiddin berkata PPBM sedia bertanding di setiap kerusi yang ditandingi Umno.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/29/letak-lah-jawatan-ahli-ppbm-beritahu-menteri-umno-dua-wajah/