Rangkaian 5G di Malaysia dimonopoli, pengguna bakal tanggung akibat

Pakar telekomunikasi, Dato Noor Kamarul Annuar Nuruddin yang merupakan bekas CEO Telekom Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai pendekatan projek rangkaian 5G yang bakal dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad ( DNB ) kelak.

Beliau yang telah diwawancara oleh Ekonomi Rakyat minggu lalu membayangkan DNB yang merupakan kontraktor tunggal projek ini bakal berdepan dengan beberapa cabaran besar dalam membangunkan rangkaian telekomunikasi tersebut.

” DNB ini syarikat baru. Dia tidak ada perkhidmatan sendiri. Jadi dia terpaksa bergantung dengan operator (telekomunikasi) lain. Sekarang ini dia belum boleh putuskan dengan operator-operator lain. Dan operator mungkin akan lawan kerana mereka nampak perkara ini akan memberikan kos yang tinggi kepada mereka. “

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk mewujudkan DNB bagi melaksanakan pembangunan rangkaian 5G di Malaysia melalui pendekatan Single Wholesale Network. Model ini berbeza dengan perancangan awal dan amalan di negara lain dimana hak membangunkan spektrum 5G dilelong kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sekaligus mewujudkan persaingan dan menjana pendapatan kepada kerajaan.

Dato Noor Kamarul berkata, DNB dijangka mengeluarkan kos yang tinggi bagi membangunkan rangkaian 5G dengan cepat kerana terpaksa menyewa pada fasiliti-fasiliti milik orang lain. Jika operator membangunkan rangkaian 5G sendiri, beliau percaya bahawa kos dapat dikurangkan kerana penyedia telekomunikasi sudah mempunyai infrastruktur sedia ada.

“DNB terpaksa ambil perkhidmatan daripada orang lain. Transmission dia tak ada, dia perlu sewa. Menara dia tak ada maka dia perlu sewa, tempat meletakkan kelengkapan dia tak ada, maka dia perlu sewa. “

Beliau juga berkata jika operator-operator dibenarkan untuk mendapatkan hak membangunkan spektrum 5G, kos dapat dikurangkan kerana perbelanjaan modal yang kurang selain operator boleh berkongsi rangkaian bersama dengan operator-operator lain.

Melalui pendekatan sedia ada, beliau menjangkakan bahawa operator turut tidak mempunyai insentif ataupun keinginan untuk menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka kelak. Hal ini kerana operator-operator telekomunikasi ini akan menawarkan perkhidmatan penuh milik mereka terlebih dahulu sebelum menawarkan perkhidmatan 5G kerana sistem rangkaian 5G tidak dimiliki oleh mereka.

“Bila kos 5G tinggi, operator sebagai contohnya, mereka sudah ada rangkaian mereka sendiri iaitu 4G. Jadi jika mereka tawarkan perkhidmatan 5G sekalipun, mereka seboleh-bolehnya akan mahu pelanggan mereka melanggan 4G. Sebab bila pelanggan melanggan 5G, mereka perlu bayar lebih (kepada DNB).”

Rangkaian 5G di Malaysia dimonopoli, pengguna bakal tanggung akibat

Bekas pengerusi Telekom Malaysia berpendapat monopoli rangkaian 5G bakal rugikan pengguna

Bekas pengerusi Telekom Malaysia, Tuan Haji Rosli Man turut skeptikal dengan model yang digunapakai bagi membangunkan rangkaian 5G ini. Kata beliau, soal kecekapan dan kemampuan bakal menjadi isu dikemudian hari kerana rangkaian 5G hanya dimonopoli oleh satu syarikat sahaja.

“Dulu, kita ada Celcom. Kalau Celcom infrastruktur gagal, kita boleh pakai Maxis. Kalau Maxis dan Celcom pun gagal. Kita ada Digi. Jadi kita ada backup. Sekarang ini rangkaian 5G ini hanya ada satu pemilik. (ia akan menjadi masalah ) misalnya jika ada apa-apa berlaku. Hal ini kerana Maxis, Digi dan Celcom ini akan menjadi peruncit sahaja. Dia akan buat pemasaran dan tawarkan perkhidmatan. Tetapi mereka tidak memiliki infrastruktur (5G tersebut )”

Beliau juga berpandangan bahawa lelongan spektrum 5G akan lebih memberi manfaat kepada pengguna. Ini kerana operator akan bertungkus lumus bersaing untuk meluaskan liputan mereka sekaligus membuatkan pelanggan lebih tertarik untuk mendapatkan akses 5G.

Rosli Man berkata operator mungkin boleh mengurangkan kos jika dapat bekerjasama dalam membangunkan rangkaian 5G sekaligus menurunkan harga yang bakal dikenakan terhadap pelanggan mereka kelak.

“Kalau berdasarkan persaingan. Pengguna akhir bakal mendapat manfaat disebabkan oleh persaingan harga dan sebagainya. Penggunaan rangkaian yang tinggi juga amat penting kerana boleh mengurangkan kos melalui economies of scale. Jadi saya tak nampak bagaimana model ketika ini boleh memanfaatkan pengguna akhir, negara dan juga operator”

Ketika ditanya adakah kerajaan terlalu tergesa-gesa untuk membawa rangkaian 5G ke dalam negara, kedua-dua individu yang diwawancara tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka, rangkaian 5G diperlukan segera bagi memastikan akses internet yang laju kepada pengguna tambahan lagi apabila memasuki era Internet of Things.

Kedua-dua mereka juga berpendapat rangkaian 5G juga boleh menggantikan peranan fiber bagi menghubungkan akses internet kepada pengguna luar bandar. Kata beliau, fasiliti yang ada boleh digunakan untuk menyediakan perkhidmatan 5G berspektrum rendah dengan liputan yang lebih luas kepada pengguna di luar bandar.

Tambah mereka lagi, akses internet ini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di luar bandar kerana dapat menjual produk mereka ke serata negara.

Berita Penuh : https://ekonomirakyat.com.my/monopoli-rangkaian-5g-di-malaysia-bakal-tingkatkan-kos-kepada-pengguna-pakar-telekomunikasi-2/

BACA JUGA : Panas !!! Umno mahu Pas berterus terang tentang pendirian sebenar parti itu

Artikel ini disiarkan pada 13/09/2021