Rakyat yang bukan berada dalam fasa satu suntikan vaksin diharap bersabar – Muhyiddin

Kumpulan rakyat yang tidak tergolong dalam kumpulan pertama pemberian vaksin COVID-19 diminta untuk terus bersabar dan kekal menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam catatan terbaharu di Facebooknya berkata, beliau juga berharap agar rakyat terus mendaftar apabila pendaftaran dibuka, dan mendapatkan suntikan vaksin mengikut jadual.

Jelasnya, vaksinasi itu amat penting dalam usaha membentuk imuniti kelompok, sekali gus dapat mengurangkan impak COVID-19 di negara ini.

“Saya juga berharap agar saudara dan saudari yang layak diberikan suntikan vaksin mendaftar apabila pendaftaran dibuka dalam waktu yang terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.

“Vaksinasi ini amat penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin. Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

 

Vaksin COVID-19 | Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Terdahulu Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi penerima terawal pada hari pertama pemberian vaksin, iaitu pada 24 Februari ini.

Dalam sidang media sempena penerimaan ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabang Kuala Lumpur (KLIA) awal hari ini, beliau berkata, seramai 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk fasa pertama vaksin COVID-19.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, fasa pertama iaitu antara Februari hingga April 2021 adalah untuk kumpulan petugas barisan hadapan.

Fasa kedua iaitu antara April hingga Ogos 2021, beliau berkata, khusus untuk kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kelainan upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang.

Manakala fasa ketiga pula, iaitu antara Mei hingga Februari 2022, untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

“Bagi mereka yang diklasifikasikan dalam fasa 2 dan 3, saya harap anda boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa 1 dilakukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha membawa vaksin ke negara ini.

“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin dan semua pihak serta agensi yang terlibat, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengangkutan, dan Malaysia Airlines Berhad untuk pastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia.

“Lindung diri, lindung semua,” katanya lagi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rakyat-bukan-dalam-fasa-pertama-pemberian-vaksin-covid19-diminta-bersabar-pm-284005

COMMENTS

Wordpress (0)