Rakyat mungkin bakal terima suntikan vaksin Covid-19 sepanjang hayat

Rakyat mungkin bakal terima suntikan vaksin Covid-19 sepanjang hayat.Rakyat Malaysia berkemungkinan besar perlu mengambil suntikan vaksin yang baharu setiap tahun meskipun telah disuntik dos penggalak kerana terdapat kebarangkalian munculnya varian baharu Covid-19 pada masa akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, sukar untuk menjangkakan berapa lama suntikan vaksin diperlukan, kerana Covid-19 terus bermutasi sehingga ke hari ini.

“Dos penggalak berkesan untuk menangani varian baharu Covid-19, tetapi kita tidak tahu berapa lama imunitinya dapat bertahan. Selepas dua tahun, kita ada vaksin baharu kerana masih ada lagi virus baharu Covid-19.

“Jadi seperti wabak influenza lain, vaksin mungkin perlu diambil setiap tahun sehinggalah Covid-19 berhenti bermutasi dan akhirnya mati. Setakat ini, kes tidaklah terlalu tinggi kerana ramai telah divaksin, mengikut prosedur operasi standard (SOP), tetapi berdasarkan senarionya, kemungkinan vaksin diperlukan setiap tahun kerana Covid-19 masih lagi ada,” katanya.

Beliau mengulas persoalan kemungkinan perlunya pengambilan suntikan vaksin baharu selepas dos penggalak bagi menangani varian baharu Covid-19.

Sementara itu, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman juga tidak menolak kemungkinan wujudnya dos vaksin keempat dan seterusnya berdasarkan pola jangkitan semasa.

“Setakat ini, kita mengambil suntikan vaksin dua kali dan dos penggalak yang mampu bertahan antara enam bulan hingga lima tahun, bergantung kepada antibodi yang melindungi jangkitan Covid-19.

“Sebelum ini, kita jangka apabila sudah divaksin lengkap, kes akan turun. Siapa sangka ada varian Omicron, sehingga negara seperti Singapura dan Israel perlukan dos ketiga.

“Sekarang, sudah ada ujian klinikal untuk vaksin dos keempat. Adakah akan ada vaksin kelima, keenam dan seterusnya? Ia bergantung kepada pola jangkitan semasa dan perkara ini perlu diteliti dalam tempoh dua ke empat minggu ini,” katanya.

BACA:

Melombong Karbon Dioksida di permukaan bulan, bakal jadi realiti?
Wanita tak sangka cincin dibeli RM48 dahulu kini berharga RM3.75 juta