Rakyat makin terjejas, rasa tertekan dengan lanjutan PKP

Lanjutan Sekatan Pergerakan Penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 didakwa mengakibatkan kuasa beli rakyat semakin berkurang selain pakej bantuan melalui melalui beberapa program yang disediakan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengetepikan golongan berpendapatan RM5,000 hingga RM5,439 di bandar daripada menerima Bantuan Prihatin Rakyat?

Selain itu beliau berkata, BPR tambahan secara tunai hanya dihadkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah tetapi data Jabatan Perangkaan menunjukkan kumpulan B40 di kawasan bandar berpendapatan bawah RM5,440.

“Lanjutan ‘total lockdown’ dan kos Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semakin ‘mencekik’ ekonomi dan kuasa beli rakyat.

“Banyak isi rumah B40 seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor tidak menerima manfaat BPR. Data Jabatan Perangkaan juga menunjukkan paras pendapatan B40 Johor adalah RM5,400 ke bawah, Pulau Pinang bawah RM5,310 dan Selangor bawah RM6,960,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

“Apakah keluarga berpendapatan RM6,000 tidak memerlukan sokongan kerajaan dan bagaimana jika keluarga berkenaan mempunyai ramai anak masih bersekolah dan perlu mengeluarkan kos tinggi untuk gajet elektronik bagi proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)?

“Kerajaan pula mengambil langkah ‘flip flop’ dengan mengumumkan PDPR tanpa tindakan positif memastikan pembelajaran anak-anak berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga gagal mengumumkan senarai bantuan baharu kepada perusahaan kecil sederhana (PKS), isi rumah dan pekerja sektor informal.

Menurutnya, sekiranya kerajaan memaklumkan terlebih dahulu jenis bantuan akan diberikan, ia akan membina keyakinan peniaga dan rakyat serta membantu mereka merancang perbelanjaan atau strategi perniagaan.

“PdPR turut menjejaskan pendapatan pelbagai sektor termasuk pengusaha kantin dan golongan pemandu bas dan van sekolah, malangnya tiada bantuan kepada perniagaan mereka,” katanya.

Faiz memberitahu, negara memerlukan satu pakej rangsangan ekonomi berkesan dan menyeluruh bukan satu pakej kitar semula, idea lama dan Pemerkasa Plus adalah polisi yang dikitar semula.

“Bantuan yang dihulurkan mestilah ‘means-tested’, bermaksud bersesuaian dengan tanggungan. Skala pendapatan semata-mata bukanlah metrik yang sesuai, tetapi mesti digabungkan dengan saiz tanggungan keluarga dan kawasan atau negeri kediaman.

“Kerajaan tidak boleh menganggap pemberian bantuan tunai ini lapor sebagai satu beban, tetapi ia sebenarnya sama seperti memasukkan duit ke dalam poket rakyat seterusnya memacu ekonomi menerusi perbelanjaan rakyat,” katanya.
Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/144255/BERITA/Nasional/Lanjutan-PKP-jejas-ekonomi-kuasa-beli-rakyat

COMMENTS

Wordpress (0)