Rakyat mahukan kerajaan yang boleh jamin kestabilan ekonomi dan kebajikan – Asmuni

Rakyat mahukan kerajaan yang boleh jamin kestabilan ekonomi dan kebajikan – Asmuni

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berani membuktikan pentadbiran kerajaan pimpinannya stabil sekiranya tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Asmuni Awi berkata, satu caranya adalah dengan mendapatkan sokongan daripada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang seperti di Perak yang menyaksikan kerajaan lebih kukuh terbentuk.

“Untuk mendapatkan kerajaan stabil, kena ada kompromi kalangan Perikatan Nasional (PN) dan komponen Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

“Jika tidak mampu, maka terpaksalah Perdana Menteri mendapatkan mandat seperti kita lakukan di Perak. Saya kira demi kestabilan,apabila kita (pembangkang) diminta beri sokongan dengan terma-terma tertentu, kita akan beri sokongan itu.

“Cumanya Perdana Menteri kena beranilah, perlu berwawasan tanpa terlalu memikirkan politik sebab rakyat dah jemu dengan pemikiran politik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menyempurnakan program kembali ke sekolah anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN)( Manjoi dan Amanah Bahagian Tambun di sini.

Pada majlis itu, seramai 350 pelajar di kawasan DUN Manjoi menerima kelengkapan sekolah; antaranya set pakaian, kasut dan beg bernilai RM150 setiap seorang.

Sementara itu, Asmuni berkata, kemahuan rakyat ketika ini bukanlah untuk mengadakan pilihan raya, tetapi lebih kepada sebuah kerajaan kukuh yang boleh menjamin kestabilan ekonomi dan kebajikan.

Tambahan pula, katanya, dengan keadaan semasa Covid-19, ekonomi tidak berkembang dan krisis kepimpinan di peringkat kerajaan, adalah tidak mudah untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini.

“Kita bimbang kalau diadakan pilihan raya pada masa ini, rakyat akan marah. Tambahan pula ia akan melibatkan kos yang terlalu tinggi seperti dinyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini, sedangkan ada cara lain untuk mengatasinya.

“Daripada kita menghabiskan duit yang begitu besar ke jalan sia-sia demi kepuasan politik pihak-pihak tertentu, adalah lebih baik ia digunakan untuk memberikan suntikan modal atau memudahkan kehidupan rakyat,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/118176/BERITA/Politik/Muhyiddin-perlu-berani-buktikan-kerajaan-stabil