Rakyat Kelantan boleh gali telaga, ‘boring’ air tanpa perlu mohon lesen

Sebanyak tujuh notis dikeluarkan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan kepada pemilik premis perniagaan yang menggunakan sumber air bawah tanah.

Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, langkah itu dilakukan bagi menguatkuasakan Enakmen Sumber Air Kelantan 2019.

Katanya, kebanyakan notis itu dikeluarkan melibatkan premis dobi dan pusat cuci kereta di Kota Bharu yang sudah dimaklumkan mengenai pelaksanaan peraturan tersebut.

“Surat yang tular itu juga tidak lengkap, hanya ada tajuk, alamat premis tiada, jadi sehingga kini kita keluar tujuh notis kepada pemilik terbabit.

“Kita hantar notis ini untuk maklumkan permohonan Lesen Abstraksi Air Tanah yang diviralkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Pejabat Adun Pasir Tumboh hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan, Wan Asma Suhana Wahida Wan Deraman.

Semalam diviralkan di media sosial dengan mendakwa rakyat Kelantan yang menggali telaga dan boring air boleh didakwa di mahkamah kerana tidak memiliki lesen.

Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, sehingga sekarang sebanyak 50 agensi kerajaan dan swasta mempunyai lesen termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu katanya, menggunakan sepenuhnya air bawah tanah yang dirawat di Loji Rawatan Air untuk diagihkan kepada penggunanya.

Selain itu kata beliau lagi, kerajaan negeri kini berusaha untuk mengenakan caj berpatutan kepada premis komersial dan pusat peranginan yang menggunakan air bawah tanah.

Beliau berkata, tujuan lesen itu dilaksanakan bagi mengenal pasti lokasi air bawah tanah, memastikan sumber air terbabit tidak tercemar serta menjaga kelestarian alam.

“Anak syarikat kerajaan negeri, AKSB sendiri membayar kira-kira RM1.8 juta setahun yang bergantung kepada pertimbangan kerajaan negeri dan projek hidro elektrik di Jeli RM9 juta setahun.

“Lesen ini berkaitan dengan penggunaan komersial sahaja, tetapi bagi kegunaan domestik, rakyat boleh gali dan bina telaga tanpa izin untuk mandi, basuh dan minum,” katanya.

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/21/rakyat-boleh-gali-telaga-tanpa-perlu-mohon-lesen/

COMMENTS

Wordpress (0)