Rakyat Kedah bosan dengan masalah air yang berpanjangan, desak kerajaan negeri selesai segera

ISU AIR.. Balik – balik isu yang sama gagal di selesaikan dan dalam masa yang sama berterusan berulang – ulang kali. Apa lagi bahasa yang boleh kami pohon kepada pihak kerajaan supaya berlaku simpati untuk penduduk kampung agar mendapat titisan air sebagai keperluan hidup.

Selepas dari sidang media 22 Februari 2021
dan disiarkan di dalam berita semasa saya dan penduduk kampung meluahkan ketidakpuasan hati maka keesokan harinya, berduyun lori SADA menuju ke Kuala Kedah untuk menyampaikan bekalan air.

Selang 2 hari kemudian bekalan air terputus kembali. Lori SADA bagaikan mogok. Lantas menimbulkan persoalan apakah yang telah terjadi?. Selama 8 ke 14 hari penduduk kampung kembali menderita ekoran tiada bekalan air. Bagaimana jika ini berlaku kepada anda para pembaca?

Ada orang sakit, makcik tua menggunakan tongkat untuk mengangkut air, bayi baru lahir, hendak solat, hendak mandi, hendak basuh najis, anak OKU, anak ke sekolah tidak boleh mandi, balik sekolah tidak mandi, ada anak yang sedang menghadapi SPM, ada yang menceritakan kepada saya terpaksa mengguna ais dalam peti sejuk untuk membasuh berak anak kecil. Tolonglah prihatin dan simpati kepada penduduk kampung dan taman-taman sekitar. Jangan sampai rakyat menyumpah kalian.

Apalah daya serta usaha lagi yang perlu kami lakukan? Panggilan telefon? Aduan secara terus kepada Pejabat SADA melalui surat? Hadir sendiri ke pejabat SADA? Kesemuanya telah kami lakukan, malangnya masih menemui jalan buntu.

Panggilan telefon langsung tidak di jawab untuk memaklum ketiadaan air. Seolah-olah tidak di endahkan. Rungutan makin meluap berkumandang. Rasa marah mula menyelinap di hati penduduk kampung.

Hari ini Exco Bekalan Air dan Pegawai Khas Menteri Besar bersama Pegawai SADA, Ahli Majlis Bandaraya, Ketua Kampung turut hadir untuk mendengar sendiri keluhan penduduk kampung di Kuala Kedah.

Saya turut hadir meskipun tidak diundang. Terima kasih kepada Kak Su YB Dato Suraya yang memberikan saya peluang untuk bercakap dalam majlis itu. Anda memang berjiwa besar Kak Su. Kesemuanya telah saya lontarkan. Segala masalah air yang melanda telah saya utarakan di hadapan EXCO, pegawai MB, Pegawai Sada, Ahli Majlis dan lain-lainnya.

Ada segelintir kecil yang bertanya apa PH buat semasa pemerintah? Meskipun sudah hampir 1 tahun pentadbiran PN telah berlangsung. Untuk makluman, penduduk seluruh negeri Kedah memerlukan 700 juta liter sehari manakala kita mampu menampung 1400 juta liter sehari. Ini menunjukkan bukan masalah kekurangan air tetapi beberapa perkara lain yang harus di atasi kerana air tidak sampai kepada pungguna.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, semasa pemerintahan PH pada tahun 2019, kami telah menyediakan plan tindakan penambahbaikan untuk kelulusan parlimen sebanyak RM 1.2 Billion untuk menyelesaikan masalah air di Kedah:

1. RM 600 Juta untuk bekalan air bersih ke Langkawi dan maintenance undersea.

2. Projek NRW (Non Revenue Water) sebanyak RM100 Juta yang diperlukan. Apakah maksud NWR? Iaitu membawa maksud air yang telah dihasilkan telah “hilang” sebelum sampai kepada pelanggan. Kerugian boleh jadi melalui kebocoran, kadang-kadang juga disebut sebagai kerugian fizikal atau kerugian yang nyata (misalnya melalui kecurian atau ketidak tepatan meter). Atau lain kelengkapan yang tidak mengikut atau menepati keadaan semasa.

3. Mengadakan 4 loji utama berjumlah RM500 juta di:

i) Jenun Baru
ii) Lubuk Buntar, Kulim
iii) Sg Limau, Baling
iv) Bukit Selambau

Kesemuanya telah mendapat kelulusan Parlimen sebelum Kerajaan PH jatuh.

Seterusnya bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Daerah Kota Setar, Kerajaan PH telah memohon pinjaman dari Kerajaan Persekutuan untuk penambah baikan dan perluasan Logi Air Pelubang yang berharga RM 450 Juta untuk penduduk termasuklah Kuala Kedah dan juga telah di luluskan. Projek jangka panjang inilah yang YAB MB canangkan sebagai alasan isu air boleh selesai lepas 3 tahun (mual dgn alasan ini).

Air yang tidak sampai kepada pelanggan jika tidak berlaku NRW, adalah di sebabkan tekanan(pressure) mengikut tekanan graviti untuk mengalirkan bekalan air kepada pengguna di tahap yang rendah. Sehubungan dengan itu langkah penyelesaian patut di cari.

Sehubungan dengan itu ketika masih lagi dalam kerajaan saya telah sedaya upaya mengambil usaha menyelesaikan masalah air dengan meminta Sada menghantar lori untuk dihantar setiap 2 hari walaupun tahu lori Sada tak mencukupi maka didalam mesyuarat Exco semasa zaman PH memohon menhantar mengguna lori swasta tak kita siang atau malam dan memasang ‘Booster Pump Motor’ di 3 tempat semasa tempoh saya masih berkerajaan:

1. Kubang Rotan (Siap)
2. Alor Janggus (Siap)
3. Kubang Pangas (Siap)
4. Taman Sri Putra lain (Baru di luluskan)
5. Kg Tepi Laut dan Kg Laksamana (Tidak sempat di lakukan kerana kerajaan PH jatuh)

Selepas daripada itu kerajaan telah diganti dengan kerajaan PN. Sewajarnyalah mereka mengikut jejak langkah untuk menyelesaikan masalah yang sedia ada bukannya hanya tahu menuding jari setelah hampir setahun berkuasa.

Saya cadangkan dalam majlis tersebut agar kerajaan PN menyediakan plan tindakan penyelesaian segera:

1. Plan jangka masa panjang
2. Plan jangka pendek
3. Plan segera pula haruslah menghantar bekalan air setiap hari kepada penduduk terbabit menggunakan lori Sada atau Lori swasta tak kira siang atau malam. Penghantaran serta merta(immediately) bukan hanya seminggu sekali.

Ekoran YB EXCO turun pada hari ini, sekonyong – konyongnya lori SADA turut ikut serta. Boleh pula dilakukan? Apa yang menjadi kebimbangan saya dan penduduk setempat ialah selepas 3 hari nanti akan berulang perkara yang sama..

Saya tidak berminat untuk bermain atau mengadakan masalah ini sebagai isu politik picisan yang memualkan. Apa jua yang terjadi, saya dan penduduk kampung amat nekad akan terus mendesak agar pihak yang berkenaan menyelesaikan masalah bekalan air secepat mungkin..

Hanya ini yang kami mahu. Hantar air bukan beri alasan Projek Pelubang akan siap yang entah 3 tahun pun belum tentu siap….

Asmirul Anuar Aris FC

Sumber:

COMMENTS

Wordpress (0)