Pulau Pinang lulus pakej bantuan RM20 juta kumpulan terjejas kerana PKP

Pulau Pinang lulus pakej bantuan RM20 juta kumpulan terjejas kerana PKP

Majlis eksekutif negeri Pulau Pinang meluluskan pakej bantuan kewangan bernilai RM20 juta untuk menghadapi cabaran perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Pakej kewangan ini bertujuan untuk memberikan bantuan kepada kumpulan sasaran yang terkesan susulan penguatkuasaan semula PKP,” kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Chow, kerajaan negeri pada tahun lalu memberikan bantuan kewangan sejumlah RM151 juta kepada banyak orang, perniagaan dan organisasi yang terjejas.

Chow meminta semua pihak untuk mematuhi SOP yang ada untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Kita harus sedar bahawa menurut statistik Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, hingga 13 Januari 2021, dari jumlah kumulatif 5,479 kes, 3,246 (59 peratus) adalah warganegara sementara 2,233 (41 peratus) bukan warganegara.

“Jelas bahawa virus itu ada di mana-mana dan siapa saja, sama ada warga tempatan atau warga asing, boleh dijangkiti.

“Oleh itu, kita tidak boleh leka dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi semua orang di negeri ini,” tambahnya.

Berkuat kuasa tengah malam semalam, PKP dilaksanakan di lapan negeri dan wilayah berikutan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara.

Selain Pulau Pinang, PKP dikuatkuasakan di Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Manakala Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan kekal di bawah PKP bersyarat tetapi dengan peraturan yang lebih ketat.

Semasa mengumumkan PKP, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa sistem penjagaan kesihatan Malaysia kini pada tahap kritikal.- Malaysiakini