PRU atau Sidang Parlimen yang akan berlaku dahulu?

Kita tahu Yang di-Pertuan Agong sudah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang pada tempoh darurat sekarang ini. Tempoh darurat yang berlangsung sekarang ialah sehingga 1 Ogos.

Tanggapan ramai termasuk para pakar perlembagaan ialah Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri digantung semasa darurat berkuatkuasa. Kerajaan tidak pernah menafikan tanggapan itu. Lantas, darurat ini dilihat ramai lebih bertujuan politik daripada langkah memerangi pandemik Covid-19 seperti yang dinyatakan kerajaan.

Sekarang, jelas Parlimen tidak digantung dan boleh bersidang walaupun pada tempoh darurat ini. Dengan zahirnya pandangan Agong, persoalannya ialah bila Parlimen akan bersidang?

“Pada suatu tarikh yang difikir sesuai (oleh baginda) atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” menurut kenyataan Pengelola Bijaya DiRaja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Bagaimanapun, pemimpin politik veteran yang juga putera raja,Tengku Razaleigh Hamzah berbeda pandangan. Kata Tengku Razaleigh, “sebenarnya memang kuasa Yang di-Pertuan Agong bawah Perlembagaan untuk memanggil Parlimen tanpa mendapat nasihat Perdana Menteri apatah lagi dalam keadaan darurat yang telah diisytiharkan.”

Sebagai rakyat biasa, tidak apa yang boleh kita lakukan selain tunggu, lihat, dan mungkin bertanya.

Bagi saya apa yang ditanya ( kepada diri sendiri) ialah jika atau lebih tepat, bila Parlimen diadakan adakah kesahan (legitimacy) kerajaan akan dipertikaikan? Bilangan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan khususnya PM tidak pernah diumumkan secara rasmi.

Lebih penting ialah, adakah usul undi tidak percaya mahupun undi percaya akan diizin dibentang dan dibahas kelak?

Langkah itu tidak kesampaian sebelum ini kerana Speaker menegaskan mengikut prosedur persidangan, urusan kerajaan mesti didahulukan sebelum lain-lain usul boleh dibentangkan.

Jika usul undi tidak percaya atau undi percaya dibentangkan, ia akan meletakkan Muhyiddin dalam keadaan tertekan. Ini sekadar menyatakan apa yang memang nyata berdasarkan majoriti tipis yang dipegangnya di Parlimen.

Malah ada pihak mendakwa majoriti tipis itu sudah hilang apabila dua Ahli Parlimen Umno mengumumkan (sebelum proklamasi darurat) tidak menyokong perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya.

Berlatar belakangkan itu, mungkinkah Muhyiddin mahu Parlimen bersidang pada waktu darurat ini?

Bertanya lagi saya kepada diri sendiri. Mungkinkah Muhyiddin akan menasihati Agong supaya Parlimen dibubarkan, untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke 15 diadakan?

Beliau kerap bercakap mengenai PRU akan diadakan bila keadaan Covid-19 reda. Sekarang vaksin sudah ada. Adakah wabak ini akan reda?

Anggota Kabinetnya, Khairy Jamaluddin, dilapor berkata PRU-15 mungkin boleh diadakan seawal September sebaik sahaja separuh daripada populasi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Khairy, yang juga menteri penyelaras program imunisasi Covid-19, memberitahu rangkaian televisyen Singapura – CNA – adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk mengadakan PRU-15 sebelum hujung tahun ini.

Aneh kerana ini di luar kelaziman. Lazimnya menteri tidak akan bercakap “sejelas” itu. Ia seolah-olah memberi “isyarat” supaya pembangkang bersiap sedia. Atau adakah isyarat Khairy itu untuk bikin pembangkang konfius?

Begitu juga berita Menteri Kanan Azmin Ali, selaku pengarah pilihanraya Perikatan Nasional, mempengerusikan mesyuarat kempen PN di Putrajaya tempoh hari. Siap ada gambar mengiringi laporan itu oleh akhbar dan media dalam talian.

Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, pula memberitahu media beliau akan mengetuai partinya dalam rundingan dengan parti komponen PN berhubung agihan kerusi PRU-15.

Lazimnya, kedua-dua berita seperti itu tidak dihebahkan. Adakah PN telus dan terbuka?

Dalam pada itu, naib presiden Umno selaku menteri kanan dalam kerajaan Muhyiddin (meskipun partinya tidak berada dalam PN), Ismail Sabri Yaakob, “tiba-tiba” mengingatkan rakyat terutama orang Melayu akan “kesengsaraan” rakyat semasa Pakatan Harapan memerintah dan bagaimana “hak keistimewaan orang MelayuzBumiputera diganggu”.

Maka berkatalah Ismail “betapa pentingnya Melayu-Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar” dan “mahu tidak mahu kita tidak dapat menolak PRU-15 sudah tidak lama”.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, pula mendakwa buku Sejarah Tingkatan 4 “memanipulasi fakta dengan mengagung agungkan komunis sebagai pejuang kemerdakaan”.

Kata beliau “perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah”. Panjang lagi dakwaannya tetapi cukup lah setakat itu. Yang jelas beliau menyerang PH dan, bagi saya, cuba menimbulkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu yang rata-rata anti komunis.

Namun walaupun Asyraf bercakap mengenai sejarah, beliau terlupa sejarah proses penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Menengah atau KSSM.

Menurut menteri pelajaran kerajaan PH, Maszlee Malek, kurikulum Sejarah disemak semula pada 2014 dan dilaksanakan pada 2017 bermula dengan murid Tingkatan 1.

“Kesimpulannya mudah,” kata Maszlee. “KSSM bermula pada 2017 yang mana waktu itu menteri pendidikan adalah dari Umno” dan “Asyraf boleh bertanya kepada menteri waktu itu”.

Jika begitu kisahnya, nampaknya “serangan” Asyraf tersasar dan tidak mengena musuh (PH) dalam “countdown” ke PRU-15.

Beliau tidak keseorangan.

Baru-baru ini anggota majlis tertinggi PPBM, Mohd Taufik Yaacob, membidas PH kerana “tidak mengambil tindakan terhadap Sugarbook” yang merupakan pekhidmatan “berkenalan ‘Sugar Daddy Sugar Baby’” terbesar di Asia.

Beliau memuji, antara lain, menteri dalam negeri kerajaan PN yang mengambil tindakan tegas.

Namun beliau juga terlupa siapakah menteri dalam negeri ketika PH kerajaan.

Seperti Asyraf, serangan Taufik juga Ini juga boleh diibaratkan seperti meludah ke langit.

Apa pun, itu semua tentunya diteliti Muhyiddin.

Lalu saya bertanya – kali ini bukan tanya diri sendiri tetapi mengaju persoalan kepada penganalis dan juga orang politik . Bila agaknya pilihan raya akan diadakan?

Semuanya memberi jawapan sama: “Bila Muhyiddin rasa selesa. Selagi tidak rasa selamat tidak perlu diadakan. Walaupun ada desakan”.

Bila pula Parlimen bersidang? “Hanya Muhyiddin je tahu. Waluuahualam,” kata mereka.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/pandangan/2021/02/27/sidang-parlimen-atau-pru-mana-datang-dulu/

COMMENTS

Wordpress (0)