Proses pilih PM baharu mungkin ambil masa seminggu dua

Proses pilih PM baharu mungkin ambil masa seminggu dua.

Perdana menteri baharu mungkin akan diumumkan dalam tempoh seminggu dua, jika melihat kepada apa yang berlaku ketika perubahan pucuk pimpinan tahun lalu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

Penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata tempoh seminggu atau dua itu adalah berdasarkan masa diambil untuk Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri (PM) tahun lalu, selain kenyataan daripada Istana hari ini yang menamakannya sebagai pemimpin interim susulan peletakan jawatannya, hari ini.

PM

“Jika calon PM telah diputuskan oleh Agong, ia boleh terus diumumkan. Bagaimanapun, Muhyiddin dijadikan PM interim. Ini juga keadaan ketika Mahathir meletak jawatan.

“Sekarang Agong akan mengambil masa seminggu dua untuk memutuskan siapa yang baginda anggap mampu mendapat sokongan di Parlimen, sama seperti tahun lalu,” katanya.

Azizuddin menjangkakan parti politik akan menghimpunkan akuan berkanun daripada 220 Ahli Parlimen untuk mencadangkan calon masing-masing bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata, antara nama utama sebagai PM adalah penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri, yang nampak “bersemangat” menonjolkan dirinya dengan mendapatkan restu Mahathir untuk dilantik ke jawatan berkenaan.

Selain itu, katanya, Tengku Razaleigh Hamzah or Ku Li juga antara nama yang ‘naik’ untuk menjadi PM.

“Bagi Anwar Ibrahim pula, beliau perlu berbuat baik dengan Mahathir dan Shafie Apdal dari Warisan untuk memperkukuh sokongan, barulah mungkin beliau ada peluang untuk menjadi PM,” katanya.

Berhubung dakwaan Muhyiddin “tidak mahu bekerja dengan kleptokrat,” Oh menyifatkan kata-katanya itu kurang jujur memandangkan beliau telah bergantung kepada sokongan golongan itu untuk menjadi PM. Istilah kleptokrat itu merujuk kepada Ahli Parlimen Umno yang sedang berdepan tuduhan rasuah.

“Kamu bercakap mengenai kleptokrat, tetapi kenapa tetap bekerja dengan mereka? Mengarut sebenarnya,” kata Oh.

Muhyiddin dalam perutusan disiarkan secara langsung di televisyen hari ini telah mengumumkan beliau dan Kabinet meletak jawatan mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan, memandangkan tidak lagi memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Minggu lalu, beliau telah cuba mengekalkan pentadbirannya dalam pada wujud keraguan terhadap majoriti dipegang presiden Bersatu itu di Dewan Rakyat.

Ini termasuk tawaran kerjasama politik bipartisan, antaranya peruntukan tahunan sama untuk semua Ahli Parlimen, tanpa mengira parti politik.

Muhyiddin turut mencadangkan pemimpin pembangkang diberi status menteri kanan dalam mengiktiraf peranan dimainkan pembangkang.

Tawarannya itu ditolak Umno dan pembangkang.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/16/pm-baharu-mungkin-diumum-dalam-seminggu-dua-kata-penganalisis/

BACA JUGA : Tawaran bipartisan kesilapan terbesar Muhyiddin

Artikel ini disiarkan pada 16/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)