Kerajaan negeri Perak perlu menilai semula kelulusan pembangunan akuakultur di Kuala Bagan Tiang di Parit Buntar dengan mengambil kira bantahan penduduk di situ.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad perlu mempertimbangkan semula kelulusan bersesuaian dengan Dasar Perak Lestari dan mendahulukan suara rakyat khususnya para nelayan supaya kehidupan generasi mereka dapat dilangsungkan.
“Sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar , saya bersama penduduk Kuala Bagan Tiang menentang keras projek yang menjejaskan alam sekitar dengan terhakisnya hutan kayu bakau yang sudahpun terancam.
“ Sebelum ini, saya bersama penduduk sekitar telah membuat bantahan kelulusan kawasan hutan kayu bakau seluas 200 ekar di Sungai Betul Bawah, bersebelahan Kuala Bagan Tiang, “ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mujahid berkata, tinjauan bersama penduduk menunjukkan projek akuakultur sedia ada di sekitar Sungai Kota telah menimbulkan banyak masalah terhadap masyarakat nelayan.
“ Projek sedia ada di sekitar Sungai Kota telahpun dibantah oleh penduduk kampung sebelum ini tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.
“ Keselamatan kampung berdekatan akan terdedah kepada bahaya ribut dan tsunami apabila hutan kayu bakau dibangunkan untuk projek akuakultur” katanya
Beliau berkata, tanpa hutan kayu bakau penduduk kampung akan terdedah kepada air pasang yang melimpahi kawasan perumahan berdekatan
“ Sejak 2008 , saya telah melancarkan program tanam semula kayu bakau di kawasan Kuala Bagan Tiang bersama penduduk dan NGO Alam Sekitar sebagai kesedaran kepada masyarakat tanggungjawab memelihara hutan kayu bakau” katanya
Beliau mendapat maklumat bahawa Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) telah meluluskan tanah seluas 47 hektar ekar di Kuala Bagan Tiang kepada Syarikat Makmur Cemerlang untuk pembangunan akuakultur.
“ Kawasan yang diluluskan tersebut pernah diminta oleh penduduk tempatan untuk projek perumahan bagi generasi nelayan di situ untuk kekal meneruskan kehidupan nelayan mereka.
“ Mereka juga mencari sumber rezeki di hutan kayu bakau sekitar. Apabila projek kolam udang diluluskan, ia akan menjejaskan pendapatan mereka yang sudahpun tertekan dengan kesan covid 19” katanya
Beliau berharap Kerajaan negeri Perak mengutamakan kepentingan penduduk tempatan bagi mengekalkan kehidupan tradisi generasi nelayan di Kuala Bagan Tiang.