Produk FGV, Sime Darby berhadapan risiko diboikot

Pembeli minyak sawit berusaha menyekat FGV Holdings dan Sime Darby Plantations dari rangkaian bekalan global selepas Amerika Syarikat melarang import daripada dua pengeluar terbesar itu, lapor Reuters.

Memetik sumber, agensi berita itu berkata pembeli berkenaan meminta pembekal mengurangkan atau terus menolak produk daripada dua syarikat terbabit yang memasuki AS, Eropah, Australia dan Japan.

Syarikat makanan AS General Mills mengeluarkan arahan global untuk tidak membeli produk FGV Holdings serta Sime Darby Plantations, yang tahun lalu diharamkan Perlindungan Kastam dan Sempadan AS susulan dakwaan buruh paksa.

“Pelanggan sangat bimbang, dan amat berhati-hati… Syarikat bimbang menjejaskan reputasi sendiri jika membeli daripada Sime Darby dan FGV,” kata sumber dipetik Reuters.

Menurut Reuters, jenama seperti Nestle, Unilever dan Hershey menggantung FGV sejak 2018 selepas pemerhati industri, Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) mendapati berlaku amalan buruh paksa.

Sementara itu, Sime Darby berkata kebanyakan pelanggan utamanya masih terus memberi sokongan walaupun selepas larangan AS itu, dan turut berhubung dengan firma bebas untuk menangani isu itu.

“Kami percaya pelanggan kami mengenali komitmen jujur kami untuk terus membuat pembaikan, selain kewibawaan kami sebagai pengeluar terbesar dunia minyak sawit lestari bersijil RSPO, merangkumi kira-kira 17% keseluruhan bekalan produk itu,” kata pengarah urusan Sime Darby Oils Mohd Haris Mohd Arshad kepada Reuters.

FGV, bagaimanapun belum mengulas perkara itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/08/produk-fgv-sime-darby-berdepan-kemungkinan-diboikot-selepas-larangan-as/