‘Pontianak kehausan darah’ bunuh 10 kanak-kanak

‘Pontianak kehausan darah’ bunuh 10 kanak-kanak

Polis Kenya menahan seorang lelaki didakwa mengaku membunuh sekurang-kurang 10 kanak-kanak secara kejam, malah digambarkan seperti ‘pontianak kehausan darah’.

Menurut polis, Masten Milimo Wanjala ditangkap pada Rabu lalu susulan kes dua kanak-kanak dilaporkan hilang, namun suspek dikatakan mengaku telah membunuh ramai lagi mangsa.

Suspek berusia 20 tahun itu dilaporkan membawa penyiasat ke lokasi mayat mangsa dibuang dalam kawasan hutan di ibu kota ini.

“Dia disyaki meragut nyawa mangsa dengan cara amat kejam, termasuk kadang-kadang menghisap darah dari urat sebelum membunuh mereka,” menurut Direktorat Penyiasatan Jenayah (DCI).

pontianak

Suspek didakwa melakukan perbuatan itu sejak lima tahun lalu dengan menyasarkan mangsa berusia 12 dan 13 tahun.

Beberapa kanak-kanak yang dikhuatiri menjadi mangsa bunuh suspek, masih belum ditemui hingga kini.

Susulan itu, sebuah mahkamah di Nairobi mengarahkan suspek ditahan selama 30 hari bagi memberi lebih masa masa kepada polis menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki lain pula didakwa mengaku merogol serta membunuh lima kanak-kanak perempuan berumur 10 hingga 15 tahun.

Suspek kes terbaru itu, Evans Juma Wanjala yang diburu polis sebelum akhirnya berjaya diberkas, bagaimanapun dilaporkan tiada sebarang hubungan dengan Masten Milimo Wanjala.

Penyiasat menyifatkan penangkapan kedua-dua suspek itu sebagai ‘kejayaan besar’, selepas kian ramai kanak-kanak dilaporkan hilang sehingga mencetuskan kemarahan dan bantahan orang ramai yang gusar.

Semalam, polis memaklumkan bahawa penyiasat membongkar perbuatan Evans Juma Wanjala yang disifatkan sebagai ‘mengerikan’ di barat Kenya di mana mayat mangsa ditemui sedang mereput di lokasi terpencil.

Menurut polis, suspek itu yang diburu sebelum ini kerana disyaki merogol dua kanak-kanak, didakwa memberitahu butiran perbuatannya menculik, menyerang dan mencekik lima mangsa dalam tempoh 18 bulan.

“Suspek pedofilia itu membawa penyiasat ke tempat kejadian setiap pembunuhan dilakukannya.

“Terdahulu, mayat mangsa pembunuhan berkenaan ditemui dalam keadaan rentung, sebelum Evans Juma Wanjala disyaki terbabit hasil analisis forensik di lokasi jenayah,” menurut DCI dalam Twitter, semalam.

Penemuan mayat mangsa terakhir diketahui yang berumur 13 tahun pada 15 Jun lalu, mencetuskan bantahan orang ramai di jalanan barat Kenya.

DCI berkata, hasil siasatan turut mendapati modus operandi suspek dipercayai sama dalam semua empat pembunuhan lain terbabit, iaitu mangsa dirogol sebelum dicekik sehingga mati dan mayat dibiarkan dalam semak untuk dimakan haiwan liar.

“Penangkapan kedua-dua suspek itu merupakan kejayaan besar dalam penyiasatan kami. Mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan,” kata Pengarah Penyiasatan Jenayah, George Kinoti.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/afrika/2021/07/840612/suspek-seperti-puntianak-kehausan-darah-polis-kenya

BACA JUGA : Hanya 80 orang ahli parlimen boleh hadir sidang khas