Politik melayu habis kucar kacir angkara “Langkah Sheraton”

Politik melayu habis kucar kacir angkara “Langkah Sheraton”

SAMPAINYA vaksin Covid-19 ke tanah air bukan sahaja memberi harapan baharu pada semua rakyat, tetapi juga bagaikan talian hayat ahli politik untuk kembali bergiat aktif dan menggila merebut tampuk kuasa membentuk kerajaan. Golongan ini bagai lupa bahawa musibah yang melanda negara, sebahagian besarnya kerana tindak-tanduk mereka pada pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam konteks desakan agar Parlimen bersidang semula, dengan naratif tempang atau mandulnya demokrasi negara, mahupun kerajaan harus berani di Parlimen, terus menjadi perbualan massa. Begitu juga jawapan menteri undang-undang yang tidak matang, terus diremeh oleh parti pembangkang. Sedar atau tidak, naratif tersebut hanya daripada perspektif elit politik tanpa melihat konteks demokrasi secara komprehensif.

Demokrasi bukan hanya sekadar di Parlimen semata-mata. Soal dan perbincangan tentang demokrasi sangat luas, bukan hanya terkurung di Parlimen sahaja. Paling menarik, ada individu pemimpin parti politik yang membuat gesaan, bukanlah seorang ahli Parlimen! Dan dalam waktu sama, timbalan menteri pula mengambil cuti yang panjang. Dalam pada itu, paling terkini, UMNO mengambil keputusan memutuskan kerjasama kolasinya bagi menghadapi PRU15.

Keputusan UMNO memutuskan kerjasama kolasi dengan Bersatu menambah perisa ragam ahli politik. Paling menarik, keputusan yang dibuat oleh elit politik itu dikatakan didasarkan kepada suara ahli parti dan belajar daripada pengalaman daripada PRU14. Apakah pengalaman PRU14 tidak lagi mengajar UMNO tentang realiti politik norma baharu? Atau, adakah mungkin berita ini hanya sebahagian daripada strategi pengalihan presiden yang sedang berdepan kes di mahkamah. Ada juga cadangan agar bekas presiden mengemudi semula bahtera UMNO, bagaikan hilang arah tuju dan bergantung harap kluster mahkamah.

Paling utama, keputusan sebegini merubah landskap politik negara. Jika Mei 2018, situasi politik dilihat lebih liberal dan tidak konfomist, tetapi mencabar identiti, norma dan tiang seri Malaysia. Pasca Mac 2020 pula memperlihatkan agenda Melayu Islam mendominasikan vas politik Malaysia, hinggakan dianggap melampaui kepelbagaian dan mendiskriminasi yang lain. Dua spektrum ekstrem ini harus dilihat dalam pertimbangan neraca Malaysia yang harmoni dan pelbagai. Maka, apakah lakaran politik Malaysia dalam mendepani PRU15 yang semakin dirasai walau tidak diketahui?

Yang pasti, tindakan UMNO ini bakal memaksa penjajaran semula politik Semenanjung, dengan Sarawak dan Sabah bakal memerhati perkembangan terkini. Apakah konsep yang bakal dibawa oleh UMNO? Benar, UMNO dengan ahli seramai 3 juta merupakan parti terbesar, tetapi adakah UMNO mampu memastikan undi bagi membentuk kerajaan? Adakah UMNO akan berkolaboratif dengan Pejuang atau lebih rela memilih PKR sebagai rakan? Jika benar, siapakah yang bakal menjadi ketua seterusnya boleh dipertimbangkan sebagai Perdana Menteri, sekiranya memenangi PRU15. Atau UMNO yakin dan mampu bersendirian? Bagaimana pula rakan dalam Barisan Nasional?

Dalam waktu sama, Bersatu yang dikatakan mencabar status quo UMNO bakal menghadapi dilema besar. Adakah Bersatu akan meneruskan kerjasama dengan Pas atas prinsip Melayu Islam, atau adakah Bersatu akan menyatukan parti-parti yang lainnya? Atau adakah Bersatu akan kembali ke PH?

Kemungkinan itu ada, apatah lagi Bersatu sedang berada duduk di kerusi pemandu, tidak mustahil PH menerima ‘budak nakal’ semula, ataupun PH itu sendiri berubah dengan kolasi dan penjenamaan baharu.

Pas pula pastinya menjadi penentu raja. UMNO atau pun Bersatu pastinya mahukan bantuan pengaruh Pas, terutama sekali di kawasan majoriti Melayu pantai timur dan utara.

Dalam pada itu, Amanah pula berhadapan dengan krisis kepercayaan dan konflik kepentingan dalam blok yang sama. Pejuang dan Muda masih lagi mencari rentak tersendiri. Berjasa dan beberapa lagi parti Melayu-Islam menjadi tambahan kepada dilema yang ada.

Apa yang pasti, PRU15 tiada lagi parti Melayu-Islam yang dominan dan mendominasi arena politik Malaysia sekiranya penjajaran tidak berjalan seperti perancangan bijak pandai politikus. Dominasi politik Melayu-Islam bagai telur di hujung tanduk. Dalam pada itu, parti etnik lain menjadi penonton tegar, sambil mencongak masa hadapan Malaysia.

* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127369/KHAS/Pendapat/Politik-Melayu-di-hujung-tanduk