Polis tahan kakak dan adik jadi tauke bekal syabu di kampung

Tali gantung mungkin menanti selepas polis tahan kakak dan adik kerana disyaki mengedar dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru-Baru, Tuaran, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Mohd Hamizi Halim berkata, lelaki berusia 22 tahun dan kakaknya yang berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 1.50 petang.

Katanya kepada Harian Metro, serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

“Kedua-dua suspek ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 323.63g dianggarkan bernilai RM33,360 yang dipercayai untuk diedar atau dijual kepada pelanggan di kampung terbabit.

“Saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan rekod mendapati mereka juga tiada rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Menurut Mohd Hamizi, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Hamizi berkata, polis mengucapkan syabas kepada orang awam dan berharap terus menyalurkan maklumat untuk membanteras kegiatan dadah.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/18/kakak-adik-ditahan-edar-syabu/