Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor akan hadir memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Selasa depan.
Ezam ketika dihubungi berkata dia dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kenyataannya terhadap Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
“Satu kertas siasatan telah dibuka terhadap saya oleh USJT JSJ Bukit Aman.
“Dan saya dimaklumkan kertas siasatan yang dibuka terhadap saya berdasarkan kenyataan saya terhadap ketua polis negara berhubung kes tangkap Jho Low dalam skandal 1MDB dan kes terhadap Mohamed Azmin Ali dalam kes video semburit,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu Ezam dalam perkongsian rakaman ceramahnya pada 2 Mac lalu mendesak ketua polis negara segera menyelesaikan kes berkaitan Jho Low dan skandal video seks yang didakwa melibatkan Azmin.
Dalam rakaman tersebut Ezam yang juga Ketua Gerak98 memberi amaran kepada Abdul Hamid agar tidak lagi menjadi “perkakas pemimpin politik”.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ezam juga berkata dia akan bertanggungjawab dengan setiap dakwaan yang dibuat.
“Dan saya hanya menjalankan tanggungjawab moral sebagai warganegara Malaysia yang mahu undang-undang ditegakkan dengan adil,” tambahnya.
Berita penuh :https://web.whatsapp.com/