Polis buru individu yang bocor dan sebar maklumat 12 pegawai penguasa yang ditahan

Ayob Khan

Polis melancarkan gerakan memburu individu yang menyebarluaskan senarai nama 12 pegawai penguat kuasa yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah “Geng Nicky”.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu susulan pihaknya telah mengesan maklumat sulit itu disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Tindakan menyebarkan maklumat ini boleh diambil mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

“Ini bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat tersebut kerana perbuatan sedemikian boleh mengakibatkan mereka diambil tindakan mengikut seksyen berkenaan.

Dalam sidang media tengah hari pada Selasa, Ayob Khan berkata, seramai 10 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan dalam Ops Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Kontinjen Johor sejak 21 April sehingga Selasa.

Operasi itu, katanya, dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan mereka yang ditahan berusia antara 36 hingga 49 tahun.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135804/BERITA/Semasa/Individu-sebar-maklumat-12-pegawai-penguat-kuasa-ditahan-diburu

COMMENTS

Wordpress (0)