Polis Israel rosakkan pembesar suara masjid Al-Aqsa bagi halang laungan Azan

Polis Israel rosakkan pembesar suara masjid Al-Aqsa bagi halang laungan Azan

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengecam tindakan Israel merosakkan pembesar suara untuk menghalang laungan azan ketika solat isyak dan tarawih di Masjid Al-Aqsa pada hari pertama Ramadan.

Agensi berita Wafa melaporkan, polis Israel menyerbu masuk ke menara Al-Magharba dan Al-Asbat sebelum memotong wayar pembesar suara masjid ketiga suci bagi umat Islam itu.

Ketika kejadian, kira-kira 10,000 orang Palestin yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sedang menunaikan solat pada akhir hari pertama Ramadan.

Menurut laporan, polis turut mencabut pintu menara Al-Asbat dan menggeledah kawasan lotengnya. Polis sebelum itu menghalang makanan diedarkan untuk jemaah berbuka puasa malah mengganggu mereka ketika meninggalkan masjid selepas selesai solat tarawih.

Portal Arab News melaporkan polis bertindak demikian selepas pegawai waqf yang bertanggungjawab terhadap tempat suci di Baitulmaqdis enggan menutup pembesar suara pada hari pertama Ramadan. Menurut laporan, ketika itu askar Israel turut melakukan upacara di tembok Buraq.

Kejadian itu dikecam Jordan, dengan jurucakap Kementerian Luar Jordan Daifallah Al-Fayez dipetik berkata tindakan Israel itu provokasi terhadap umat Islam di seluruh dunia selain melanggar undang-undang antarabangsa serta status quo dipersetujui.

Laporan turut menyebut kakitangan Jabatan Hal Ehwal Al-Aqsa diganggu sepanjang operasi polis berkenaan.

“Ini kali pertama sejak 1967 apabila penjajah Israel mensabotaj pintu untuk menceroboh menara dan memotong bekalan elektrik pembesar suaranya. Malah mereka mengganggu kakitangan waqf yang enggan mematuhi mereka,” kata sumber di Majlis Waqf Baitulmaqdis kepada Arab News.

(Majlis Waqf ialah jawatankuasa di bawah kerajaan Jordan yang diberi kuasa mentadbir Masjidil Al-Aqsa mengikut perjanjian damai Israel-Jordan.)

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/dunia/2021/04/15/halang-laungan-azan-polis-israel-rosakkan-pembesar-suara-masjid-al-aqsa/